Sunday, January 5, 2014

Krisis politik Bangladesh semakin meruncing


Pegawai keselamatan Bangladesh membawa peti undi ke pusat pengundian menjelang pilihan raya di Dhaka, Bangladesh, semalam. - REUTERS
DHAKA 4 Jan. - Krisis politik di Bangladesh semakin meruncing sehari menjelang pilihan raya umum di negara ini, apabila beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan bertindak menyerang berpuluh-puluh pusat pengundian di seluruh negara hari ini, menyebabkan seorang aktivis terbunuh.
Polis dalam kenyataannya berkata, mangsa terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan penyokong kerajaan daripada Liga Awami dan penunjuk perasaan antikerajaan di pekan Patgram, di utara negara ini.
Identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti sama ada daripada kumpulan penyokong kerajaan atau pembangkang.
Kejadian itu berlaku ketika kumpulan pembangkang utama, Parti Nasionalis Bangladesh menyeru rakyat Bangladesh mengadakan mogok besar-besaran dan memulaukan pengundian yang dijadual diadakan esok.
Polis berkata, penunjuk perasaan bertindak membakar 34 pusat mengundi pada hari pertama mogok berkenaan dilancarkan, dua daripadanya di Dhaka dan sembilan lagi di daerah Khulna, di selatan bandar itu.
Sementara itu, pegawai kerajaan di wilayah Chittagong, Mohammad Abdullah berkata, serangan oleh penunjuk perasaan itu tidak akan mengganggu proses pengundian kerana rancangan sokongan telah diambil bagi memudahkan pengundi di kawasan terjejas untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
"Tindakan mereka tidak akan menjejaskan proses pilihan raya di wilayah ini.
"Pihak kerajaan tempatan telah memindahkan tiga pusat pengundian yang sebelum ini dibakar oleh penunjuk perasaan," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140105/lu_04/Krisis-politik-Bangladesh-semakin-meruncing#ixzz2pW8c7Szh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment