• Jamil Khir Baharom Jamil Khir Baharom
 1 / 1 
KUALA TERENGGANU - Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pembimbing haji yang dikesan cuba mempengaruhi jemaah haji untuk membenci kerajaan.
  
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata tindakan memecat atau menghantar balik pembimbing berkenaan akan dilakukan segera jika kesalahan berkenaan terbukti dilakukan di Tanah Suci Makkah dan Madinah.
  
"Tindakan berkenaan bakal diambil sekiranya Tabung Haji mempunyai bukti kukuh di atas kesalahan itu kerana ia adalah sesuatu yang serius sedangkan kerajaan selama ini sudah berusaha yang terbaik agar umat Islam dapat menjalankan rukun Islam kelima itu dengan selesa dan lancar.
  
"Sebagai contoh, terdapat jemaah yang memberitahu ketika mereka melakukan ibadah melontar di ketiga-tiga Jamrah, jemaah haji dipesan agar selain ibadah itu dilakukan untuk melontar syaitan...sekembalinya ke tanah air mereka perlu melontar untuk menjahanamkan Umno," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali ke-30 di sini hari ini.

Muzakarah yang berlangsung selama empat hari bermula semalam itu bertujuan membincangkan pelbagai hukum haji yang sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
  
Sebanyak 370 pembimbing ibadah haji dari seluruh negara berhimpun dalam muzakarah itu termasuk dari Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei dan Filipina.
  
Sehingga kini, terdapat kira-kira 400 orang pembimbing ibadah haji yang dilantik Tabung Haji bagi memberi panduan kepada jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.
  
Mengulas mengenai kesepakatan pembimbing ibadah haji dalam menjawab persoalan yang timbul, Jamil berkata muzakarah itu akan berusaha menyeragamkan jawapan agar tidak berlaku lagi kekeliruan dalam kalangan jemaah haji. - Bernama