Wednesday, January 15, 2014

Yingluck hampir mengalah

Bangkok: Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra dilaporkan hampir mengalah dengan tuntutan penunjuk perasaan antikerajaan kelmarin, tetapi mengubah fikiran pada saat akhir selepas dinasihati abangnya, Thaksin Shinawatra.
Sumber kerajaan berkata, bekas polis yang kemudian menjadi bilionair dan perdana menteri itu menghubungi Yingluck dan menggesanya agar bersabar dan tetap dengan pendirian untuk mengadakan pilihan raya pada 2 Februari ini. 
Kata sumber itu, Yingluck menghubungi Panglima Tentera Thailand Prayuth Chan-ocha melalui telefon menjelang operasi “menutup” Bangkok.

“Dalam perbualan itu Yingluck memaklumkan bahawa dia bosan dengan krisis politik negara dan meminta cadangan daripada Prayuth.
Foto
PENUNJUK perasaan mengikat karikatur menyerupai Yingluck di belakang skuternya di Bangkok, semalam.

“Namun Prayuth enggan memberi sebarang cadangan dan berkata, Yingluck sendiri perlu membuat keputusan kerana apa saja yang berlaku dalam negara, ia menjadi tanggungjawab perdana menteri,” katanya.

Sumber itu berkata, Yingluck kemudian memberitahu Prayuth yang dia akan memberikan jawapan pada jam 4 petang.

“Ramai menjangka Yingluck akan mengumumkan peletakan jawatan tetapi dia mengadakan mesyuarat dengan pemimpin eksekutif Parti Phue Thai dan bercakap melalui Skype dengan Thaksin.

“Thaksin kemudian menasihatinya bahawa perlembagaan tidak membenarkan dia meletakkan jawatan,” katanya.

Pada pandangan Thaksin, katanya, penunjuk perasaan akan membawa kes Yingluck ke mahkamah kerana mengabaikan tugasnya.

“Dia mungkin berdepan hukuman penjara,” katanya.

Sementara itu, Prayuth memberitahu anggota bawahannya agar menghalang keganasan tercetus ketika demonstrasi antikerajaan.

Tentera perlu memakai pakaian preman ketika mengawal kebanyakan bangunan kerajaan bagi mengelak diserang pihak tertentu.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/15

No comments:

Post a Comment