JOHANNESBURG 11 Feb. - Keluarga dua wanita yang mahu diiktiraf sebagai anak kepada bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela menghubungi peguam yang menjaga wasiat pemimpin antiaparteid itu, namun bukan untuk menuntut harta mendiang.
Seorang peguam yang menjaga harta Mandela, Michael Katz berkata, beliau menerima surat dari keluarga Onica Mothoa dan Mpho Pule yang mendakwa mereka adalah anak kepada Mandela semasa pemimpin tersebut berkahwin dengan isteri pertamanya, Evelyn Mase.
Katz berkata, perkara tersebut akan dibincangkan bersama peguam lain yang mendedahkan butiran wasiat berkenaan, minggu lalu.
Mereka membuat tuntutan bahawa mereka merupakan keturunan Madiba. Tuntutan itu juga bukanlah tuntutan kewangan, kata Katz yang menggunakan nama keturunan Mandela.
Spekulasi bahawa Mandela mempunyai hubungan intim dengan wanita lain semasa perkahwinannya dengan Mase telah tersebar sejak bertahun-tahun lalu.
Akhbar Afrika Selatan, The Star melaporkan, Mothoa tidak kisah tentang harta pusaka Mandela, namun mahu diiktiraf sebagai anak pemimpin itu, malah dia telah menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membuktikan dakwaannya.
Seorang lagi wanita, Mpho Pule, 63, meninggal dunia akibat angin ahmar pada 2009 selepas cuba menghubungi Mandela sebagaimana laporan akhbar Mail dan Guardian pada 2010.
Pule memulakan usaha membuktikan dakwaannya dengan cuba bertemu Mandela pada 1998 selepas neneknya memberitahu bahawa pemimpin itu merupakan bapanya.
Sementara itu, Yayasan Nelson Mandela memberitahu, Mandela mempunyai enam orang anak dengan tiga daripadanya meninggal dunia.
Bagaimanapun, nama Mothoa dan Pule tidak tersenarai dalam susur galur keluarga Mandela. - AP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140212/lu_09/Mahu-diiktiraf-anak-Nelson-Mandela#ixzz2t3BteEzI
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment