Tuesday, February 25, 2014

Yingluck tinggalkan Bangkok


Seorang anggota tentera Thailand, melarang jurugambar merakam gambar lokasi letupan yang mengakibatkan dua beradik maut serta 24 yang lain cedera di sebuah lokasi popular di Bangkok, kelmarin. - AFP
BANGKOK 24 Feb. - Perdana Menteri sementara, Yingluck Shinawatra dilapor meninggalkan ibu negara Thailand dan kini berada di lokasi tidak dinyatakan, sejauh kira-kira 150 kilometer dari Bangkok.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya memaklumkan, beliau tidak berada di Bangkok kerana menjalankan tugas rasmi, jauh dari bandar raya yang menjadi tumpuan penunjuk perasaan antikerajaan.
Yingluck kali terakhir dilihat di Bangkok hampir seminggu lalu dan tidak dapat dipastikan tempoh beliau akan menjalankan tugas di luar bandar raya ini.
Timbalan Perdana Menteri, Surapong Tovichakchaikul berkata, Yingluck dijangka mengadakan mesyuarat Kabinet esok.
"Kemungkinan besar mesyuarat itu akan diadakan di luar Bangkok.
"Namun, lokasi pertemuan tersebut masih belum diketahui dan saya juga tidak dimaklumkan lokasi beliau berada," katanya kepada pemberita.
Sementara itu, ketua tentera Jeneral Prayuth Chan-ocha mengulangi pendiriannya untuk tidak melakukan rampasan kuasa selain meminta kesemua pihak yang terlibat mencari jalan penyelesaian secara baik bagi mengelakkan keganasan di negara ini berlarutan.
"Sudah tiba masanya semua pihak menyelesaikan konflik politik negara ini secara aman dan segera.
"Pihak tentera tidak akan campur tangan kerana tindakan rampasan kuasa boleh menyebabkan negara ini runtuh," katanya ketika membuat pengumuman melalui siaran televisyen tempatan Channel 5 TV. - REUTERS/DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140225/lu_02/Yingluck-tinggalkan-Bangkok#ixzz2uHdSKi4U
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment