Monday, February 10, 2014

Yusuf Qaradhawi nafi dilarang berkhutbah


Doha: Ulama terkenal Sheikh Yusuf Qaradhawi dilapor tidak lagi menyampaikan khutbah Jumaatnya selepas khutbahnya baru-baru ini dilapor menjejaskan hubungan diplomatik antara Qatar dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ketidakhadiran ulama kelahiran Mesir itu menyebabkan timbulnya khabar angin bahawa beliau dilarang menyampaikan khutbah oleh kerajaan Qatar.


Bagaimanapun, akaun rasmi Twitter Yusuf semalam menyangkal khabar angin itu. “Khabar angin itu tidak benar. Sheikh Qaradhawi tidak pernah dilarang menyampaikan khutbah Jumaat. Beliau sebenarnya tidak sihat kerana selesema,” katanya.



Dalam khutbahnya di sebuah masjid di Doha, ibu negeri Qatar dua minggu lalu, ulama berkenaan mengecam UAE dan menganggapnya sebagai negara yang menentang pemerintahan Islam.


Khutbahnya itu disampaikan beberapa hari selepas UAE memenjarakan 30 penduduk tempatan dan Mesir kerana menganggotai pergerakan Ikhwanul Muslimin. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/10

No comments:

Post a Comment