Monday, March 31, 2014

246 tunggu hukuman mati


Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semalam berkata, kerajaan berjaya membantu membebaskan 176 warga Indonesia termasuk pekerja asing daripada hukuman mati di luar negara.

Bagaimanapun, menurutnya, 246 lagi masih menunggu hukuman itu.



“Kami sudah membantu membebaskan 176 rakyat kita daripada hukuman mati sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Ini bukan jumlah kecil kerana permohonan pengampunan seperti itu bukannya mudah, walaupun untuk seorang pesalah saja,” katanya selepas menemui ahli keluarga empat pekerja asing yang kini menunggu dikenakan hukuman mati di Arab Saudi.

Katanya, pesalah dimaksudkan secara amnya didapati bersalah atas tuduhan bunuh dan dadah.

Mereka yang ditemui Susilo adalah keluarga empat pesalah - Satinah dari Semarang, Tuti Tursilawati (Jawa Barat), Siti Zainab (Bangkalan, Jawa Timur) dan Karni (Brebes, Jawa Tengah).

Menurutnya, kerajaan juga berusaha sedaya upaya untuk membantu 246 warga Indonesia yang masih berdepan hukuman mati.

“Tugasnya amat sukar, namun kami melakukannya dengan ikhlas demi rakyat kita,” katanya.

Berhubung kes Satinah, Susilo berkata, dia sudah menghantar surat kepada Raja Abdullah memohon pengampunan untuk wanita itu yang disampaikan melalui Menteri Hal Ehwal Agama Maftuh Basyuni.

Satinah, 40, berdepan hukuman bunuh selepas didapati bersalah oleh mahkamah di Arab Saudi kerana membunuh majikannya Nura al-Gharib di Gaseem pada awal 2009 dan mencuri wang wanita itu.

Dia dipenjara sejak 2009 dan hukumannya dijadualkan pada 3 April ini kecuali wang darah berjumlah SAR 7.5 juta (RM6.4 juta) dibayar.

Susilo berkata, hukuman mati terhadap Satinah ditangguhkan beberapa kali sejak 2011 berikutan tiga surat diutuskan pihaknya kepada kerajaan Arab Saudi.

“Kami terus berusaha dengan harapan dapat memohon pengampunan untuknya,” kata Presiden Indonesia itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

No comments:

Post a Comment