2014/03/27 - 05:32:18
Seoul: Korea Utara melancarkan ujian dua peluru berpandu balistik jarak sederhana semalam, mendorong reaksi keras Amerika Syarikat selepas Presiden Barack Obama menjadi hos persidangan bersejarah Jepun dan Korea Selatan bagi menyatukan tiga negara itu berdepan ancaman nuklear Pyongyang.
Washington mengecam ujian itu sebagai mengganggu dan provokatif, dengan Jabatan Negara Amerika mengancam melancarkan tindakan bersesuaian kerana melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melarang Korea Utara daripada melancarkan ujian peluru berpandu balistik.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata, kedua-dua peluru berpandu boleh sampai pada jarak 650 kilometer ke dalam Laut Jepun, meninggikan risiko selepas siri pelancaran peluru berpandu jarak dekat sejak beberapa minggu lalu.
Jurucakap kementerian, Kim Min-Seok, mengenal pasti ia sebagai peluru berpandu kelas Rodong dengan jarak maksimum 1,000 hingga 1,500 kilometer.
Sampai Russia dan China
Peluru berpandu ini mampu sampai bukan hanya ke Jepun tetapi juga Russia dan China, kata Kim, sambil menambah ia dilancarkan dari pelancar bergerak berhampiran Pyongyang.
Kali terakhir Korea Utara menguji peluru berpandu Rodong pada Julai 2009, berikutan kecaman PBB ke atas ujian nuklear keduanya pada Mei.
Kim berkata, ujian sengaja ditetapkan bertepatan dengan persidangan kelmarin di The Hague antara Obama, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan Presiden Korea Selatan, Park Geun-Hye.
Korea Utara mempertingkatkan kemampuan ketenteraannya untuk menarik perhatian antarabangsa, kata Kim.
AFP
No comments:
Post a Comment