Monday, March 10, 2014

Tentera Rusia ambil alih pos sempadan Ukraine


KIEV 9 Mac - Tentera Rusia, hari ini mengambil alih kawalan pos sempadan Ukraine di barat Crimea, menyebabkan 30 kakitangan terperangkap di dalam pos kawalan tersebut, ketika ketegangan antara tentera Rusia dan Ukraine semakin meningkat.
Jurucakap pengawal sempadan, Oleh Slobodyan berkata, pangkalan Chernomorskoye di barat laut Laut Hitam diambil alih tanpa sebarang pertumpahan darah pada kira-kira pukul 6 pagi waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia.
''Tentera Rusia kini mengawal 11 pos pengawal sempadan di Crimea,'' katanya.
Dalam pada itu, kumpulan lelaki bersenjata pro-Rusia melepaskan tembakan amaran bagi menghalang pasukan pemantau antarabangsa dan sebuah pesawat pemerhati Ukraine daripada memasuki wilayah autonomi Crimea hari ini.
Tiada pertumpahan darah dilaporkan berlaku sejak wilayah yang terletak di Laut Hitam itu ditawan tentera Rusia kira-kira 10 hari lalu, namun tentera Rusia semakin memberi tekanan ke atas askar Ukraine yang terperangkap di pangkalan itu di Crimea.
Sementara itu, berpuluh-puluh trak tentera yang membawa askar bersenjata memasuki jalan-jalan raya di Crimea ketika Rusia menambah kehadiran tenteranya di Laut Hitam berdekatan Semenanjung Crimea.
Jurucakap tentera Ukraine yang berpangkalan di Crimea, Vladislav Seleznyov berkata, saksi melihat kapal amfibia tentera mendaratkan kira-kira 200 kenderaan tentera di timur Crimea, kelmarin selepas melintasi Selat Kerch.
''Peralatan dan askar tersebut tidak memakai sebarang tanda pengenalan, namun kami tidak ragu-ragu mereka merupakan penyokong Rusia,'' katanya.
Operasi amfibia itu dilihat sebagai satu daripada pergerakan terbesar tentera Rusia sejak mereka tiba di Crimea seminggu lalu.
Beliau berkata, lebih 60 trak tentera dilihat menuju ke Simferopol dari Feodosia, semalam.
Dalam pada itu, Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov berkata, Moscow menolak untuk berdialog dengan kerajaan baharu Ukraine yang disifatkan sebagai boneka kumpulan pelampau. - AP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140310/lu_06/Tentera-Rusia-ambil-alih-pos-sempadan-Ukraine#ixzz2vYM2ucHY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment