Monday, March 24, 2014

Terima imej satelit baharu


Pesawat Tentera Udara China, Ilyushin Il-76 bersiap sedia untuk menyertai pencarian MH370 di Lautan Hindi, di Pangkalan Pearce Tentera Udara Diraja Australia, Bullsbrook, Perth, Australia, semalam. - REUTERS
KUALA LUMPUR 23 Mac - Malaysia menerima imej-imej satelit baharu daripada pihak berkuasa Perancis yang menunjukkan kemungkinan terdapat objek di kawasan sekitar Koridor Selatan pagi ini.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia seterusnya menyalurkan imej-imej tersebut kepada pusat koordinasi menyelamat Australia.
Menurut beliau, setakat 2.30 petang ini, pegawai-pegawai Australia telah memaklumkan kepada Malaysia masih belum ada penemuan baharu yang boleh dikaitkan dengan pesawat Malaysia Airlines MH370.
"Australia, China dan Perancis telah menyalurkan imej-imej satelit menunjukkan objek-objek yang mungkin ada kaitan dengan pesawat MH370 di sekitar Koridor Selatan.
"Semua maklumat ini telah dipanjangkan kepada Australia sebagai negara yang mengetuai operasi di kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, berhubung operasi mencari dan menyelamat (SAR), Hishammuddin memberitahu, dua pesawat Ilyushin IL-76 milik China telah tiba di Perth, Australia serta dijadualkan berlepas untuk operasi SAR antara pukul 5 dan 6 pagi esok.
Beliau menambah, dua pesawat P3 Orion milik Jepun juga telah berlepas ke Perth dari Subang hari ini.
"Pusat koordinasi menyelamat Australia akan menghantar empat pesawat tentera dan empat pesawat awam ke Koridor Selatan hari ini untuk menjalankan operasi pencarian secara visual," ujarnya.
Jelas Hishammuddin, kapal Ocean Shield milik tentera laut Australia yang dilengkapi dengan jentera kawalan jauh yang berupaya menyelam ke dasar laut sedang dalam perjalanan ke Koridor Selatan.
"Di samping itu, sebuah pesawat P8 Poseidon milik tentera laut India dan sebuah pesawat C130 milik tentera udara India berlepas dari Subang hari ini untuk menyertai operasi SAR di Koridor Selatan yang diketuai oleh Indonesia," katanya.
Beliau berkata, beberapa penerbangan dari Subang ke Koridor Selatan hari ini terpaksa dibatalkan ekoran cuaca buruk yang disebabkan ribut tropika Gillian.
Sementara itu, Hishammuddin memberitahu, transmisi Aircraft Communication Addressing and Reporting System (ACARS) MH370 yang dihantar kali terakhir pada pukul 1.07 pagi, 8 Mac lalu tidak menunjukkan sebarang aktiviti luar biasa.
"Transmisi tersebut menunjukkan laluan normal untuk perjalanan ke Beijing," ujarnya.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, pasukan Malaysia pada peringkat tertinggi telah mengadakan taklimat di Beijing pagi ini untuk ahli-ahli keluarga penumpang pesawat MH370.
"Taklimat itu berlangsung selama enam jam dan ini merupakan kali ketiga pertemuan dilakukan bagi memberi maklumat dan menjawab soalan daripada ahli keluarga," jelasnya.
Menurut beliau, kerajaan Malaysia ingin menyatakan komitmennya untuk terus berhubung dengan ahli-ahli keluarga anak kapal dan penumpang MH370.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140324/dn_01/Terima-imej-satelit-baharu#ixzz2wpeBfTW5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment