Sunday, March 23, 2014

Transkrip komunikasi tidak sahih



HISHAMMUDDIN (tengah) pada sidang akhbar pesawat MH370 di Hotel Sama-Sama di Sepang semalam. Turut hadir Azharuddin (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya (kanan).


SEPANG - Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengesahkan transkrip komunikasi antara juruterbang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah dengan menara kawalan trafik udara Malaysia yang didedahkan The Telegraph adalah tidak tepat.
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, laporan yang didedahkan portal dari United Kingdom itu adalah sesuatu yang tidak benar.
"Saya mengesahkan transkrip komunikasi yang dilaporkan di dalam The Telegraph adalah tidak sahih, tidak tepat," katanya pada sidang akhbar harian berhubung pesawat MH370 di Hotel Sama-Sama di sini semalam.
The Telegraph dalam satu pendedahan semalam mendakwa transkrip tersebut adalah laporan komunikasi pada 54 minit terakhir sebelum pesawat itu terputus hubungan dengan menara kawalan.
Menurut laporan itu, transkrip komunikasi juruterbang bersama menara kawalan itu bermula ketika pesawat MH370 terbabit berlepas dari landasan hingga ke kedudukannya di ketinggian yang mencecah puluhan ribu kaki di atas Laut China Selatan.
Transkrip yang didakwa bermula pada pukul 12.25 tengah malam memaparkan arahan daripada menara kawalan kepada juruterbang pesawat itu termasuk pertukaran dari satu lokasi.
Azharuddin ketika diminta untuk mendedahkan butir perbualan antara juruterbang dan menara kawalan trafik udara, beliau menjelaskan:
"Oleh kerana telah menjadi amalan standard dalam siasatan seperti ini, transkrip itu tidak boleh didedahkan kepada umum pada peringkat ini."


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0323&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2wjBIjvqg 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment