Friday, March 14, 2014

Waris China mahu cakap dengan pemimpin negara

MH 370
Ahli keluarga penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 menangis ketika bercakap menerusi telefon bimbit di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing. - Sumber Ihsan Reuters 
14 Mac 2014

BEIJING - CHINA . Beberapa anggota keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dari China telah memohon untuk bercakap secara terus dengan pemimpin Malaysia melalui telepersidang video.

Keutamaan mereka ialah, kedudukan pesawat MAS penerbangan MH370 dan kerja yang dijalankan Kerajaan Malaysia dalam usaha mencari pesawat yang membawa 239 penumpang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, yang hilang awal Sabtu lepas.
 
Mereka memohon pakar dalam bidang telekomunikasi dan radar serta pegawai atasan dari Jabatan Penerbangan, tentera dan tentera laut untuk bercakap secara langsung.
 
Selain meminta Duta Malaysia di China Datuk Iskandar Sarudin, untuk bertemu mereka di sini, anggota keluarga juga mahu pembayaran dibuat untuk perbelanjaan dan penginapan sejak insiden kehilangan pesawat berkenaan.
 
Sebelum ini, MAS berjanji untuk menanggung penginapan anggota keluarga di Beijing selama seminggu.

Jurucakap MAS Ignatius Ong Ming Choy berkata, syarikat penerbangan itu akan menanggung perbelanjaan bil telefon mereka sama ada di Beijing atau Kuala Lumpur.
 
Anggota keluarga berkenaan telah menolak tawaran Ong untuk menerbangkan kira-kira 20 hingga 30 anggota keluarga ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan maklumat terawal di sana, bersama-sama anggota keluarga terbabit yang tiba beberapa hari lalu.
 
Wakil dari Jabatan Penerbangan Awam Malaysia turut hadir pada taklimat bersama anggota keluarga hari ini.
 
Misi mencari dan menyelamat melibatkan pelbagai negara itu sedang berjalan bagi mencari pesawat MH370 yang hilang dengan tumpuan terbaharu di Lautan Hindi berikutan laporan kemungkinan pesawat berkenaan berubah haluan.  - Bernama

No comments:

Post a Comment