Monday, April 14, 2014

‘Ambillah hati kami’

 Sudah kering air mata bagi seorang ibu Azlina Ahmad, 32, untuk meratapi penderitaan anak kecilnya Muhammad Habib Rayyan Rosli, 20 bulan, yang menghidap penyakit kegagalan hati kronik.

Walaupun reda dengan ketentuan dan ujian Allah SWT, hati ibu mana yang sanggup melihat anak sekecil itu menderita hingga menyebabkan perutnya membengkak.
“Saya hanya mahu melihat anak membesar seperti kanak-kanak lain, dan apabila Hospital Universiti Nasional Singapura mengesahkan dia mempunyai masalah hati, saya mahu memberi sebahagian hati kepadanya,” kata guru itu.
Dia kini hanya menunggu pemeriksaan kesihatan dan juga pemeriksaan darah bagi memastikan sama ada dia atau suami Rosli Mohd Noh, 37, sesuai untuk menderma sebahagian hati untuk anaknya.
“Saya dan suami sanggup berkorban apa saja, ambillah hati kami asalkan anak kami sihat.
“Kami berdua hanya memanjatkan doa dan harapan agar kami adalah penderma yang sesuai untuk Muhammad Habib, namun jika keputusan sebaliknya, maka kami terpaksa memohon bantuan mencari penderma lain,” katanya dengan nada sayu.
Kata Azlina, lebih tiga bulan mereka menanti jawapan sebenar mengenai masalah kesihatan anak bongsu daripada dua beradik itu.
“Doktor yang melakukan pemeriksaan mendapati hati anak saya sudah keras dan gagal berfungsi dengan baik.

Hanya pembedahan pemindahan hati adalah jawapannya,” katanya.
Satu lagi masalah yang dihadapi mereka adalah kos pembedahan pada awalnya sekitar RM200,000 tetapi kini meningkat kepada RM500,000.
“Memang jumlah ini sangat besar tetapi kami akan berusaha mencari wang bagi menampung perbelanjaan pembedahan itu.
Foto

Saya berharap orang ramai dapat membantu meringankan beban kami,” katanya.
Kelmarin, mereka menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu Norsabrina Mohd Noor yang turut menyampaikan sumbangan pemberian orang ramai di rumahnya di Taman Cempaka, Selama.
Norsabrina berkata, pihaknya mewujudkan tabung bagi membantu Muhammad Habib sedaya mungkin dan ramai yang prihatin turut membantu.
“Saya akan mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak bagi mendapatkan pandangan kemungkinan pembedahan serta rawatan dapat dilakukan di dalam negara kerana kosnya mungkin dapat dikurangkan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Azlina di talian 017-4230358 untuk maklumat lanjut atau menghulurkan bantuan melalui akaun semasa Maybank 558211512260 atas nama Azlina Ahmad.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

No comments:

Post a Comment