Tuesday, April 15, 2014

Rang undang-undang Bangsamoro dibentang Mei ini


Dua orang kanak-kanak lelaki, berjalan di hadapan sekumpulan anggota tentera Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Kem Darapanan di bandar Sultan Kudarat, Pulau Mindanao, selatan Filipina pada 27 Mac lalu. - AFP
MANILA 14 April - Kerajaan Filipina berharap rang Undang-Undang Asas Bangsamoro akan dikemukakan kepada Kongres pada sidang pertama bulan depan supaya draf itu dapat diluluskan oleh Presiden Presiden Benigno Aquino III, sebelum beliau menyampaikan ucapan peringkat kebangsaan pada Julai ini.
Setiausaha Operasi Komunikasi di Pejabat Presiden, Herminio Coloma Jr. berkata, beliau yakin rang undang-undang berkenaan tidak menghadapi masalah apabila diteliti oleh pihak kehakiman.
Jelasnya, kerajaan berharap rang undang-undang berkenaan akan selesai dikaji sebelum 5 Mei ini.
Aquino sebelum ini mengarahkan draf undang-undang itu perlu dibuat berdasarkan Perlembagaan 1987.
“Arahan tersebut merupakan perkara yang paling penting dalam memastikan rang undang-undang itu diluluskan," katanya kepada radio tempatan, dzRB, semalam.
Aquino dijangka mengesahkan rang undang-undang tersebut sebagai perkara penting yang akan dibentangkan di Dewan Senat dan Dewan Perwakilan untuk pertimbangan sebelum diluluskan secepat mungkin.
Menurut ketua perunding kerajaan, Miriam Coronel-Ferrer, Undang-Undang Asas Bangsamoro yang digubal oleh Kongres, perlu dilaksanakan sebagai akta asas di Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) berlandaskan Perlembagaan 1987.
Seramai 15 wakil Suruhanjaya Peralihan Bangsamoro dijangka menyerahkan draf rang undang-undang itu untuk diteliti terlebih dahulu oleh pasukan peguam Presiden sebelum diserahkan kepada Aquino bagi dibentangkan di Kongres.
Semalam, ahli Senat Filipina berpendapat sebuah jawatankuasa khas mungkin perlu dibentuk bagi menilai draf Undang-Undang Asas Bangsamoro itu untuk memastikan proses perbincangan dan penubuhan wilayah autonomi di Mindanao dapat dilaksanakan pada hujung tahun ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140415/lu_03/Rang-undang-undang-Bangsamoro-dibentang-Mei-ini#ixzz2ytzWFckY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment