KIEV - Polis menahan 70 orang yang menawan sebuah bangunan pentadbiran wilayah di timur Ukraine tetapi sejumlah penunjuk perasaan pro-Moscow masih bertahan di dua bandar lain di negara itu.
Perkembangan membimbangkan itu mendorong kerajaan Ukraine menuduh Rusia mendalangi percubaan untuk memecahkan negara tersebut.
Kiev menyatakan, rampasan bangunan awam di kawasan yang dihuni majoriti penduduk berbahasa Rusia di timur Ukraine pada Ahad lalu itu mengimbau kembali peristiwa wilayah Crimea yang dirampas oleh Rusia pada bulan lalu.
Menteri Dalam Negeri, Arsen Avakov memberitahu semalam bahawa kira-kira 70 anggota pemisah ditahan di bandar Kharkiv kelmarin.
Namun, beliau tidak memberi butiran terperinci mengenai operasi antipengganas yang dilancarkan bagi menawan kembali bangunan di Kharkiv itu tetapi berkata, dua anggota polis cedera akibat terkena letupan grenad.
Dalam pada itu, Rusia menafikan dakwaan Ukraine bahawa ia terlibat dalam kekacauan di negara berkenaan.
Namun, Moscow memberi amaran kepada Kiev supaya tidak menggunakan kekerasan terhadap penduduk Ukraine yang berbahasa Rusia.
Terdahulu, pasukan tempur khas Ukraine yang berseragam dan lengkap bersenjata berkawal di hadapan bangunan kerajaan yang dirampas semula kelmarin.
Dalam pada itu, kumpulan penunjuk perasaan pro-Rusia yang menawan bangunan kerajaan di Luhansk dan Donetsk menuntut supaya satu pungutan suara seperti yang pernah berlangsung di Crimea diadakan di wilayah mereka.
Pungutan suara tersebut bertujuan untuk memberi pilihan kepada penduduk tempatan sama ada untuk berpisah daripada Ukraine dan menyertai Rusia.
"Satu komplot anti-Ukraine sedang dilancarkan disusuli oleh tindakan tentera asing (Rusia) menyeberangi sempadan dan merampas wilayah negara ini," kata Perdana Menteri Ukraine, Arseny Yatseniuk ketika berucap di Parlimen.
"Kita tidak akan membiarkan perkara ini berlaku," tambahnya.
Sementara itu, agensi berita Itar-Tass memetik Timbalan Perdana Mneteri Ukraine, Vitaly Yarema sebagai berkata, pihak berkuasa tidak akan menyerbu bangunan kerajaan yang ditawan oleh kumpulan penunjuk perasaan tersebut.
Keputusan itu dibuat selepas rundingan diadakan di Donetsk melibatkan kumpulan penunjuk perasaan itu dan ahli perniagaan tempatan Rinat Akhmetov. - Reuters
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0409&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2yKqir3eO
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment