8 Mei 2014
KUALA LUMPUR - Syarikat insurans hayat Malaysia telah membayar lebih RM14.2 juta dalam bentuk pampasan kepada waris penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines MH370.
Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Vincent Kwo berkata syarikat insurans hayat di Malaysia telah mengambil pendekatan proaktif bagi mempercepatkan proses tuntutan bayaran pampasan kepada waris penumpang dan anak kapal yang mempunyai insurans hayat.
Beliau berkata pembayaran telah dibuat kepada beberapa waris sejak beberapa minggu lepas tanpa melalui proses yang biasanya dilakukan.
"Setakat ini, jumlah pampasan yang telah dibayar kepada waris kira-kira RM14.2 juta daripada jumlah keseluruhan RM18.7 juta. Sebanyak 184 polisi dikeluarkan oleh syarikat insurans hayat di Malaysia.
"Baki tuntutan RM4.5 juta masih menunggu penyerahan dokumen rasmi oleh waris," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kwo berkata mereka memahami kesedihan dialami anggota keluarga dan bersedia mempercepatkan pembayaran pampasan dan mempermudahkan waris untuk membuat tuntutan.
"Kami telah memansuhkan syarat mengemukakan sijil mati dan menjadikan perkara ini sebagai keutamaan tertinggi dan berusaha dengan sebaik mungkin untuk membayar tuntutan dalam tempoh seminggu selepas menerima semua dokumen lengkap yang berkaitan.
"Kami minta anggota keluarga berhubung dengan syarikat insurans berkaitan dan mengemukakan tuntutan. Jika tidak pasti sama ada anggota keluarga ada mengambil insurans hayat, waris boleh menghubungi hotline LIAM 03-26916628 yang mengendalikan pertanyaan berhubung prosedur tuntutan MH370," katanya.
Bagi pihak syarikat yang menjadi anggota LIAM, sekali lagi kami ingin menyatakan simpati dan sokongan kami susulan insiden yang menyelubungi MH370, anak kapal dan penumpang dalam pesawat.
"Kami juga ingin memberi pujian kepada Kerajaan Malaysia, pelbagai agensinya, MAS dan rakan antarabangsa atas usaha mereka dalam operasi mencari dan menyelamat," kata beliau.
Pada 8 Mac, pesawat Boeing 777-200ER yang dalam penerbangan ke Beijingbersama-sama 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam.
Tujuh belas hari kemudian, Penerbangan MH370 dipercayai telah berakhir di selatan Lautan Hindi.
Misi pencarian besar-besaran bagi pesawat yang hilang itu setakat ini belum berhasil menemukan apa-apa yang ada kaitan dengan MH370. - Bernama
No comments:
Post a Comment