Sunday, May 18, 2014

Narendra Modi digesa tidak abai penduduk Islam


MODI disambut ratusan penyokongnya sejurus beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi semalam selepas kemenangan parti pimpinannya dalam pilihan raya umum. - AFP
NEW DELHI 17 Mei - Perdana Menteri India yang baru dilantik, Narendra Modi digesa supaya mendekati masyarakat Islam dan mengelak membuat kenyataan melampau tentang sesuatu etnik minoriti ekoran kemenangan besar Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinannya dalam pilihan raya negara ini, semalam.
Menurut akhbar utama negara ini, Modi perlu menghilangkan ketakutan di kalangan etnik minoriti yang tidak mengundi beliau terutamanya masyarakat Islam ekoran kematian kira-kira 1,000 orang dalam rusuhan kaum pada 2002, tidak lama selepas beliau dilantik sebagai ketua menteri negeri Gujarat.
“Realitinya terdapat defisit besar kepercayaan oleh kumpulan minoriti terutamanya komuniti Islam, yang harus beliau tangani. Beliau (Modi) masih dianggap sebagai tokoh polarisasi yang tidak mendekati kumpulan-kumpulan minoriti.
“Dalam usaha merapatkan jurang kredibiliti untuk mentadbir semua kaum di India, Modi perlu memastikan bahawa semua penduduk mempunyai hak sama rata di sisi undang-undang," tambahnya.
Menurut ruangan editorial The Indian Express, perkara pertama yang paling penting yang perlu dilakukan kerajaan Modi adalah menghampiri mereka yang tidak mengundi dirinya terutamanya komuniti Islam.
“Keganasan di Gujarat pada 2002 selain keengganan Modi menjawab persoalan tanggungjawab politik dan moralnya, pentadbiran beliau dilihat akan melahirkan rasa tidak selamat dalam kalangan masyarakat minoriti di India," katanya.
Times of India pula melaporkan, Parlimen baharu India pula hanya akan mempunyai 24 ahli Parlimen beragama Islam, jumlah paling rendah sejak 1952. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140518/lu_05/Narendra-Modi-digesa-tidak-abai-penduduk-Islam#ixzz320ocE8Wa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment