Tuesday, June 17, 2014

Lebih 140,000 warga Kemboja keluar Thailand


PHNOM PENH 16 Jun - Lebih 140,000 rakyat Kemboja meninggalkan Thailand dan kembali ke negara mereka, hari ini ekoran tindakan kekerasan ke atas pendatang tanpa izin di bawah pemerintahan tentera negara terbabit.
Kepulangan sebahagian besar rakyat Kemboja yang memainkan peranan penting dalam pelbagai industri di Thailand termasuk pertanian dan makanan laut adalah ekoran amaran tentera yang merancang untuk menangkap dan mengusir pekerja asing tanpa izin.
"Pada tengah malam tadi, jumlah pendatang Kemboja yang meninggalkan Thailand mencecah 142,000 orang," kata Gabenor wilayah Banteay Meanchey, Kor Sam Saroeut, hari ini.
Menurut beliau, lebih 2,000 pekerja tiba di bandar Poipet berhampiran sempadan kedua-dua negara awal hari ini dan mereka menunggu kenderaan kerajaan untuk membawa mereka pulang.
Lebuh raya di bandar sempadan itu dipenuhi dengan trak tentera yang membawa lelaki, wanita dan kanak-kanak ke wilayah asal mereka.
Namun, junta Thailand hari ini menafikan dakwaan tentang pelaksanaan polisi bagi 'mengusir' pekerja asing dari negara itu, walaupun sekumpulan besar warga Kemboja telah pulang ke negara asal mereka sejak tentera merampas kuasa pada bulan lalu.
Majlis Keamanan dan Ketenteraman Nasional (NCPO) berkata, kepulangan warga Kemboja adalah atas kehendak mereka sendiri dan tambah mereka, kira-kira 60,000 rakyat Kemboja melepasi sempadan kelmarin.
"NCPO tidak melaksanakan polisi bagi mengeluarkan pekerja asing dari Thailand, namun tentera perlu mengawasi kawasan di mana buruh haram diatur dan diuruskan sejak lebih 10 tahun lalu.
"Kami meminta pihak yang menerima pekerja asing untuk meneruskan aktiviti seperti biasa dan mengekalkan ketenteraman," kata jurucakap NCPO, Winthai Suvaree.
Sementara itu, Kementerian Luar Kemboja menjelaskan, pihaknya akan meminta Thailand supaya memastikan warganya dilayan dengan baik ketika pulang.
"Kami meminta Thailand menghantar pulang pekerja dengan baik tanpa dikenakan hukuman, dan membantu dalam urusan pekerja asing tanpa izin," kata jurucakap kementerian, Kuy Kuong. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140617/lu_07/Lebih-140000-warga-Kemboja-keluar-Thailand#ixzz34qaZsRrC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment