Sunday, June 29, 2014

Pantau kegiatan jihad rakyat kita: Muhyiddin


2014/06/28 - 07:00:55

Pagoh: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kegiatan jihad dalam kalangan rakyat Malaysia yang disifatkan sebagai pelampau di Syria dipantau bagi mengelak ia menular ke negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembabitan rakyat Malaysia dalam kegiatan itu cukup membimbangkan dan pihaknya sudah menerima laporan menerusi polis antarabangsa (INTERPOL).

“Kita pantau perkara ini. Kita sudah menerima laporan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi hubungan INTERPOL. Kita dapat maklum balas mengenai keadaan sebenar tetapi belum dapat menentukan secara terperinci tetapi ia sesuatu yang agak cukup membimbangkan.

Latihan bentuk ketenteraan

“Ini berikutan tindakan mereka dianggap sebagai pelampau, mungkin tujuan mereka untuk berjihad fisabilillah tetapi mereka dilatih dalam bentuk ketenteraan oleh pasukan bersenjata.

“Jadi ini sesuatu yang kita harus pantau, walaupun ia berlaku di luar negara, kemungkinan kalau mereka pulang ke tanah air. Kalau tak pantau, kumpulan ini boleh menimbulkan masalah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan 15 rakyat Malaysia terbabit dalam keganasan dan aktiviti jihad terbunuh di Syria pada sidang media selepas Majlis Sumbangan Untuk Masjid dan Surau serta Anugerah Pelajar Cemerlang Parlimen Pagoh, di sini semalam.
Sebelum ini, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan Malaysia meminta pihak Syria mengesahkan dakwaan pegawai Syria yang berpusat di New York, Amerika Syarikat, pada sidang media 18 Jun lalu.

Muhyiddin berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, Malaysia tidak mahu timbul keadaan huru-hara, walaupun perkara itu berlaku di luar negara seperti Syria atau mana-mana negara sekalipun.

“Kita tidak boleh memandang ringan isu itu. Pihak kerajaan membuat pemantauan menerusi hubungan kita dengan jabatan dan pihak berkuasa peringkat antarabangsa,” katanya.

No comments:

Post a Comment