Thursday, June 26, 2014

Tujuh pegawai kanan terbabit rombakan


2014/06/26 - 04:55:39

Tujuh pegawai kanan terbabit rombakan
Kuala Lumpur: Beberapa rombakan besar membabitkan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka dilakukan dalam masa terdekat susulan persaraan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah.

Sumber Bukit Aman memberitahu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohmad Salleh dijangka menggantikan Hadi Ho yang akan menamatkan perkhidmatannya hujung bulan ini, sekali gus dinaikkan pangkat daripada Senior Deputi Komisioner kepada Komisioner.

Kekosongan ditinggalkan Mohmad pula dijangka diisi Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Tajudin Md Isa dengan pangkat Senior Deputi Komisioner.

Bertukar ke Bukit Aman

Perubahan itu turut membabitkan jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah apabila penyandang jawatan berkenaan, Datuk Hamza Taib dijangka bertukar ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah JSJK.

Jawatannya di Sabah pula bakal diambil alih oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.

Ketua Polis Kelantan yang baharu dijangka disandang Datuk Mazlan Lazim yang kini timbalan kepada Jalaludin, manakala Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner Omar Mammah akan ditukarkan ke jawatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Dasar/Sumber, Bukit Aman.
Rombakan berkenaan dijangka berkuat kuasa pertengahan Julai ini.

No comments:

Post a Comment