EINDHOVEN - Tiga puluh lapan keranda terakhir mengandungi mayat-mayat mangsa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang ditembak jatuh pada 17 Julai lalu tiba di pangkalan Udara Diraja Belanda Eindhoven di sini kelmarin.
Setakat ini, sejumlah 227 keranda telah diserahkan kepada pihak berkuasa Belanda yang mengetuai pasukan penyiasatan antarabangsa.
Keranda itu dibawa oleh pesawat tentera udara Belanda dan Australia yang mendarat pada pukul 3.45 petang waktu tempatan di pangkalan udara berkenaan.
Keluarga mangsa yang menaiki penerbangan MH17 juga berada di pangkalan udara dan mereka bertafakur sebaik sahaja kedua-dua pesawat berhenti di landasan.
Satu demi satu keranda itu kemudian dipindahkan ke kereta jenazah untuk dihantar ke pangkalan tentera Belanda di Hilversum untuk proses siasatan forensik dan pengenalan mangsa.
Ketua Pasukan Penyiasat Khas Malaysia, Khairil Hilmi Mokhtar ketika dihubungi berkata, dengan keranda terakhir diterbangkan, operasi bagi menyaring dan melabel mayat-mayat di Kharkiv, Ukraine telah selesai.
Pesawat MH17 yang dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur terhempas di sebuah kampung berhampiran Grabovo di timur Ukraine selepas dipercayai ditembak dengan peluru berpandu darat ke udara.
Seramai 298 penumpang termasuk 15 anak kapal terbunuh selepas pesawat jenis Boeing 777 tersebut meletup dan berkecai di udara. - Bernama
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz38nvLoqlX
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment