Tuesday, July 15, 2014

Firdaus dijangka keluar hospital minggu ini


2014/07/15

Firdaus dijangka keluar  hospital minggu ini
Muhammad Firdaus Dullah

Seremban: Remaja kurang upaya Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang ditemui dalam keadaan menyedihkan bulan lalu, dijangka keluar dari Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) di sini, minggu ini.

Pengarah HTJS, Datuk Dr Jaafar Che Mat, berkata sebelum ini Firdaus dilaporkan akan keluar ke hospital minggu lalu, tetapi pasukan perubatan yang merawatnya memutuskan untuk terus memantau keadaan kesihatannya.

Pastikan benar-benar sihat

Katanya, keadaan remaja itu semakin baik, tetapi pihak hospital mahu memastikan keadaannya benar-benar sihat sebelum menyerahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kemungkinan Firdaus akan dibenarkan keluar hospital esok atau Khamis ini. Sementara itu, kita akan terus menjalankan pemantauan tahap kesihatannya,” katanya di sini, semalam.

Dr Jaafar berkata, sejak mendapatkan rawatan di HTJS tiga minggu lalu, tahap pemulihan remaja itu semakin positif terutama dari segi berat badan yang semakin bertambah.

Tindak balas positif
Katanya, dia juga kini sudah menunjukkan tindak balas positif ketika berhubung dengan doktor atau jururawat yang merawat serta orang di sekelilingnya.

“Selepas ini, Firdaus akan diserahkan kepada JKM untuk ditempatkan di Rumah Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah di sini,” katanya.

Dalam operasi Jabatan Imigresen negeri untuk memburu pendatang tanpa izin di rumah pangsa Taman Semarak, Nilai, jam 2 pagi pada 21 Jun lalu, anggota penguat kuasa terkejut apabila menemui Firdaus dalam keadaan kurus kering dan menyedihkan.

No comments:

Post a Comment