Wednesday, July 16, 2014

Jangan ganggu Laut China Selatan: Beijing


Beijing: China semalam mengingatkan Amerika Syarikat (AS) supaya tidak mencampuri perbalahan berhubung wilayah yang dipertikaikan di kawasan Laut China Selatan sebaliknya membiarkan saja negara terbabit menyelesaikan masalah berkenaan.

Kementerian Luar China semalam menegaskan negara itu mempunyai kedaulatan terhadap Kepulauan Spratly - lokasi yang paling banyak tuntutan bertindih - selain terus menuntut supaya negara yang berada di kepulauan miliknya ‘secara haram’ supaya menarik balik pekerja serta peralatan yang ditempatkan di situ.
“Kami kesal dengan sesetengah negara yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin memperkukuhkan kedudukan mereka di situ melalui pembinaan struktur dan penambahan senjata,”katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, China akan terus mempertahankan hak maritim serta kedaulatannya dan tidak pernah menolak daripada mengadakan perbincangan secara langsung dengan negara terbabit demi “menghormati sejarah dan perundangan antarabangsa.”


Sementara itu, timbalan penolong setiausaha negara AS bagi strategi dan hal ehwal pelbagai hala Michael Fuchs berkata, tiada satu-satu negara yang bertanggungjawab sepenuhnya mengakibatkan ketegangan yang meningkat di rantau berkenaan.


Tegasnya, AS menganggap perlakuan ‘provokatif’ China menimbulkan tanda tanya terhadap kesediaan republik itu mematuhi peruntukan undang-undang antarabangsa.

China menuntut hak ketuanan di 90 peratus daripada Laut China Selatan yang dipercayai mengandungi minyak dan gas selain sumber perikanan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

No comments:

Post a Comment