Tuesday, October 14, 2014

Bunuh Teman Wanita: Hukuman Pistorius Ditentukan Hakim Masipa Beberapa Hari Lagi


Diterbitkan: Selasa, 14 Oktober 2014 4:43 PM
Oscar Pistorius.

HAKIM Afrika Selatan, Thokozile Masipa akan memutuskan hukum yang akan dikenakan terhadap bintang pecut paralimpik negara itu, Oscar Pistorius selepas beberapa hari perdebatan hujah undang-undang dan bukti.

Pada bulan lalu, Masipa mendapat atlet tersebut melakukan pembunuhan tanpa niat selepas dia menembak teman wanitanya, Reeva Steenkamp melalui pintu bilik mandi pada sambutan Hari Kekasih, tahun lalu.

Masipa berkata, Pistorius 'cuai dan bertindak tergesa-gesa ketika melepaskan tembakan ke arah pintu bilik mandi, khuatir sekiranya terdapat penceroboh di sebalik pintu itu.

Namun, mahkamah membersihkan Pistorius daripada tuduhan lebih serius iaitu pembunuhan yang dirancang dengan berkata mereka gagal memberikan bukti kukuh terhadap dakwaan tersebut.

Pistorius didapati bersalah atas pertuduhan menggunakan senjata api di khalayak ramai, kesalahan berhubung kait dengan tindakannya melepaskan tembakan di sebuah restoran.
Pada hari pertama pendengaran hukuman, seorang ahli psikologi yang merawat Pistorius menyifatkan beliau sebagai seorang lelaki yang 'patah hati'.
Manakala seorang pekerja sosial yang dipanggil sebagai saksi untuk pembelaan mencadangkan agar beliau menjalani hukuman tahanan di dalam rumah daripada dipenjarakan.
Pistorius boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat tetapi barisan peguam Afrika Selatan menyatakan ramalan berbeza mengenai hukuman yang akan dikenakan terhadapnya.

Segelintir mereka berpendapat Pistoriu tidak akan dipenjarakan kerana peguam bela berjaya dalam hujah mereka bahawa atlet tersebut merupakan pesalah kurang upaya dan beliau mungkin sukar menjalani hukuman di dalam penjara.

Manakala beberapa peguam lain berpendapat Pistorius akan dijatuhi hukuman penjara untuk tempoh tertentu berdasarkan jenayah yang dilakukannya.
Pendengaran hukuman itu dijangka berterusan selama beberapa hari dengan peguam kepada Pistorius berharap mereka dapat menarik semula hukuman yang dikenakan terhadap atlet yang dikenali sebagai  "Blade Runner" itu.

No comments:

Post a Comment