Kesatuan EropahKUALA LUMPUR - Bersempena sambutan Hari Menentang Hukuman Mati Sedunia hari ini, Kesatuan Eropah (EU) dan Majlis Eropah mengulangi bantahan keras dan penuh mereka terhadap hukuman itu.
 
Hari yang disambut pada 10 Oktober setiap tahun itu diperkenalkan pada 2003 oleh Gabungan Menentang Hukuman Mati Sedunia.
 
Dalam satu kenyataan bersama, Wakil Tertinggi bagi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan EU dan Setiausaha Agung Majlis Eropah berkata mereka komited terhadap usaha menghapuskan hukuman mati di seluruh dunia.
 
"Kami menyeru semua ahli Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) supaya menyokong resolusi berhubung moratorium mengenai pelaksanaan hukuman mati yang akan diundi dalam Sidang Ke-69 Perhimpunan Agung PBB pada Disember 2014," kata mereka dalam kenyataan yang dikeluarkan Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia hari ini.
 
Mereka menyatakan semua negara anggota EU telah menghapuskan hukuman mati, yang kali terakhir dilaksanakan 17 tahun lepas.
 
EU dan Majlis Eropah juga menggesa semua negara bukan anggota pertubuhan itu supaya menandatangani dan mengesahkan Protokol 6 dan Protokol 13 Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah yang bertujuan menghapuskan hukuman mati.
 
Kedua-dua pertubuhan itu juga menggalakkan semua negara mengesahkan Protokol Opsyen Kedua terhadap Konvensyen Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik 15 Disember 1989, bersempena sambutan ulang tahun ke-25nya tahun ini.
 
Sehingga kini, hanya 81 negara mengesahkan protokol itu. - Bernama