MEKAH 7 Okt. - Pihak Berkuasa Arab Saudi menyifatkan haji tahun ini adalah yang paling berjaya selepas lebih dua juta umat Islam dari seluruh pelusuk dunia selesai menunaikan rukun Islam kelima itu dengan aman dan sempurna.
"Haji 1435 merupakan satu kejayaan besar, saya bersyukur kerana jemaah haji dapat menunaikan ibadat dengan mudah dan dalam keadaan selesa," kata Gabenor Mekah, Putera Mishaal Abdullah.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Abdullah, Putera Mahkota Putera Salman, Timbalan Putera Mahkota, Putera Muqrin kerana kelancaran operasi.
Beratus-ratus jemaah haji bergerak dari Mina selepas mengerjakan wajib haji iaitu melontar sebagai simbolik menghalau syaitan dengan melempar tujuh biji anak batu di tiga jamrah.
Walaupun cuaca panas tetapi pergerakan ke jamrah berjalan dengan teratur tanpa sebarang gangguan.
Seorang jemaah dari Mesir, Ahmad Al-Masri memberitahu Arab News bahawa ini kali ketiga dia mengerjakan haji.
"Kali pertama saya datang pada 1994 dan saya tidak boleh bayangkan bagaimana sukarnya menunaikan haji pada masa itu," katanya.
Menurutnya, ketika itu tiada perkhidmatan kereta api dan jemaah haji terpaksa berjalan beberapa kilometer antara tanah suci, Mina dan Arafah.
Kerajaan Arab Saudi layak mendapat pujian kerana berjaya melaksanakan tugas mengurus jemaah haji dengan baik pada tahun ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141008/lu_05/Ibadat-haji-selesai-dengan-sempurna#ixzz3FVD90bae
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment