MEKAH 6 Okt. - Kira-kira dua juta jemaah haji mula bergerak Mekah hari ini selepas selesai melaksanakan ibadah melontar jamrah selama tiga hari di Mina.
Setibanya di Mekah, para jemaah akan melaksanakan Tawaf Ifadlah (Tawaf Rukun) dan Saei bagi yang belum melakukannya sebelum melakukan Tawaf Wada (Tawaf Selamat Tinggal) bagi menandakan selesailah pelaksanaan ibadah haji.
Namun, terdapat sebahagian jemaah yang masih berada di Mina sehingga esok, hari terakhir ibadah haji.
Laman web Saudi Gazette melaporkan, hujan turun dengan lebat di kebanyakan kawasan di Mekah dan Mina semalam, sehingga memaksa para jemaah menggunakan payung untuk bergerak ke satu-satu tempat.
Bagaimanapun, hujan sama sekali tidak mematahkan semangat mereka untuk menyempurnakan ibadah haji, sebaliknya bersyukur kerana tidak perlu berhadapan dengan cuaca panas terik di Mina.
Gabenor Mekah, Putera Mishal Abdullah yang memantau rapi keadaan semasa musim haji tahun ini turut mengeluarkan arahan kepada agensi terbabit untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menjaga keselamatan para jemaah.
Pihak berkuasa Arab Saudi berkata, sehingga kini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Melontar di jamrah merupakan simbolik kepada perbuatan Nabi Ismail yang membaling batu ke arah syaitan yang cuba menghasut baginda supaya enggan patuh kepada perintah Allah untuk disembelih oleh bapa baginda, Nabi Ibrahim. - AFP/AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141007/lu_06/Jemaah-haji-mula-bergerak-ke-Mekah#ixzz3FQ7HVsGW
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment