THE HAGUE 15 Nov. – Pasukan penyiasat dijangka dapat mencari lebih banyak serpihan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, di bawah satu perjanjian yang dipersetujui oleh kerajaan Belanda dengan pemberontak pro-Rusia yang mengawal wilayah tersebut.
Akhbar Volkskrant yang memetik kenyataan Kementerian Kehakiman sebagai berkata, penyiasat Belanda akan dibenarkan kembali ke rantau berkenaan selepas pemberontak itu mencapai kata sepakat dalam perbincangan yang dipantau oleh Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE).
Sehingga kini masih terdapat banyak serpihan bangkai pesawat di tapak nahas dan usaha mencari sukar dijalankan kerana kawasan tersebut dikuasai oleh kumpulan pemberontak.
Awal bulan ini, pakar penyiasat mendakwa mereka berjaya menemui beberapa mayat mangsa dan serpihan pesawat di tapak nahas.
Siasatan awal di lokasi nahas ditangguhkan pada Ogos lalu berikutan pertempuran sengit di lokasi nahas.
Siasatan itu disambung semula pada September lalu selepas satu perjanjian gencatan senjata ditandatangani antara pemberontak pro-Rusia dan tentera Ukraine dengan pasukan pakar menjalankan siasatan di empat kawasan di lokasi nahas.
Seramai 298 orang penumpang dan anak kapal terkorban dalam nahas yang berlaku pada 17 Julai lalu itu, dengan dua per tiga daripada mangsa merupakan rakyat Belanda. – DPA/AGENSI
No comments:
Post a Comment