“Rakyat mungkin akan membeli minyak bersubsidi dengan harga baharu pada hari Tahun Baharu 2015, 1 Januari,’’ kata Menteri Penyelaras Ekonomi Indonesia, Sofyan Djalil kepada media, semalam, lapor portal Jakarta Post.
Beliau juga membayangkan akan berlaku pelarasan yang diikuti dengan pelaksanaan dasar subsidi tetap yang menyaksikan minyak bersubsidi akan ditetapkan pada satu harga tertentu.
Jelasnya, minyak itu mungkin ditetapkan pada harga subsidi 500 rupiah (14 sen) atau 1,000 rupiah (28 sen) seliter bagi melindungi bajet negara daripada sebarang kenaikan dan penurunan harga minyak import yang tidak diingini ekoran faktor-faktor luaran.
“Kami sedang membincangkan semua pilihan yang ditawarkan berdasarkan harga minyak pasaran semasa. Kami mahu melaksanakan satu dasar yang membolehkan bajet negara tidak terkesan (oleh harga minyak dan kadar tukaran wang asing),’’ katanya.
Semalam, Kementerian Penyelaras Ekonomi mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Perdagangan, Bank Indonesia dan Agensi Statistik Pusat (BPS) bagi membincangkan kemungkinan kesan inflasi ekoran pelaksanaan dasar itu.
November lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menaikkan harga minyak bersubsidi iaitu minyak premium kepada 31 peratus menjadi 8,500 rupiah (RM2.38) seliter dan minyak diesel kepada 36 peratus atau 7,500 rupiah (RM2.10) seliter.