Mail Online memetik laporan yang dikeluarkan oleh laman web BabyCentre menyatakan, nama Muhammad menduduki tangga pertama tahun ini selepas berada di tempat ke-27 pada tahun lalu.
Laporan berkenaan turut menyimpulkan bahawa berlakunya peningkatan dalam penggunaan nama-nama Arab di UK de­ngan nama seperti Omar, Ali dan Ibrahim buat pertama kali tersenarai dalam 100 nama paling popular.
Sementara itu, bagi bayi perempuan, nama seperti Maryam terus menjadi pilihan dengan menduduki tangga ke-35, manakala nama Nur buat pertama kali tersenarai dalam lingkungan 100 nama paling popular apabila menduduki tangga ke-29.
Sophia menjadi nama bayi pe­rempuan paling popular di UK di­ikuti Emily dan Lily.
Ketua Editorial BabyCentre, Sarah Redshaw berkata, peningkatan penggunaan nama-nama Arab menunjukkan UK kini mengalami perubahan dari segi ‘kepelbagaian’ agama, bangsa dan fahaman.
Bagaimanapun, nama yang sering digunakan dalam kalangan keturunan diraja iaitu George jatuh lima anak tangga berbanding tahun lalu apabila menduduki tangga ke-13 pada tahun ini.
Nama diraja lain seperti Harry dan William juga semakin kurang popular dalam kalangan penduduk UK.