Saturday, December 13, 2014

Penjara Guantanamo lengang


DUA bekas banduan di penjara Teluk Guantanamo membawa barangan dapur menuju ke apartmen mereka di Montevideo, Uruguay kelmarin.


WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama melaksanakan usaha baharu untuk menutup penjara Teluk Guantanamo di Cuba walaupun mendapat tentangan anggota Kongres daripada Parti Republikan.
Seramai 12 banduan penjara itu dipindah keluar baru-baru ini selepas Obama menyatakan perasaan kecewanya berhubung isu tersebut kepada beberapa pegawai pentadbiran kanan dalam satu pertemuan tertutup.
Di bawah pemerhatian Obama, populasi penjara Teluk Guantanamo telah berkura­ngan kepada 136 orang daripada hampir 700 banduan sekali gus jumlah terendah sejak pusat tahanan itu dibuka pada 2002.
Pengurangan itu antara lain berpunca daripada usaha berterusan Obama untuk me­ngotakan janjinya pada hari pertama beliau menjadi Presi­den AS untuk menutup pusat tahanan itu.
Penjara Teluk Guantanamo menempatkan suspek pengganas dan dibina di sebuah pangkalan Tentera Laut AS di Cuba.
“Kami sedang mengusahakannya (menutup penjara berkenaan),” kata Obama semasa melawat sebuah kedai buku pada hujung minggu lalu.
Pemindahan beramai-ramai banduan itu berlaku sejak beberapa bulan lalu selepas hanya segelin­tir mereka dipindahkan pada awal tahun ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa pegawai pentadbiran berkata, separuh daripada populasi banduan di penjara itu atau 68 orang telah mendapat kelulusan untuk dipindahkan. Kebanyakan banduan di penjara itu dipindahkan ke beberapa negara luar termasuk Georgia, Slovakia di Eropah dan Uruguay di Amerika Selatan. – AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1213&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3LjHC62Sn 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment