SITI NUR MAS ERAH AMRAN
18 Januari 2014
Perarakan bantah tindakan hina PM Ahli NGO dan parti politik berarak mengeliling Bandar Sunway bagi melahirkan rasa tidak puas hati mengenai isu kangkung hari ini.
BUTTERWORTH - Beberapa NGO dan parti politik menggerakkan ahlinya untuk berarak dan berhimpun di hadapan pusat beli-belah Sunway Carnival hari ini bagi membantah tindakan Adun Machang Bubuk, Lee Khai Loon menghina perdana menteri.
Perhimpunan yang diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican itu bermula di Jalan Todak sebelum berarak hampir satu kilometer sambil membawa pelbagai sepanduk ke pusat beli-belah terbabit.
Turut menyertai perarakan ialah Setiausaha Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said dan Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.
Reezal Merican berkata, perhimpunan yang diadakan adalah untuk menunjukkan bantahan terhadap tindakan pemimpin PKR yang menyumbat kangkung ke dalam karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Pemimpin diangkat oleh rakyat dan dipilih berteraskan demokrasi bagi mewakili suara kita semua.
"Tindakan dia (Khai Loon) bukan hanya mempersenda malah menyakitkan hati kami semua kerana tidak menghormati pemimpin negara.
"Justeru, satu lagi perhimpunan akan diadakan esok di Alma bagi memastikan suara umat Islam di negeri ini didengari semua pihak," katanya.
Rabu lalu, Khai Loon memuat naik gambar terbabit melalui akaun Twitternya menerusi program flash mob "I Love Kangkung" bagi membantah kenaikan harga barang di tapak pasar malam Alma.
No comments:
Post a Comment