2014/03/28 - 06:26:03 AM
Kassim Ahmad - Foto Mohd Fadli Hamzah |
Putrajaya: Dr Kassim Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah semalam, atas dua tuduhan menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama.
Dia yang hadir sambil bertongkat membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Syarie, Umamuddin Yunus.
Kassim atau nama sebenarnya Kassim @ Osman Ahmad, 81, dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu pada seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia untuk 30 Tahun Akan Datang, di Yayasan Kepimpinan Perdana, No. 1 Jalan PBH, Presint 8 di sini, antara jam 9 pagi hingga 5 petang, 16 Februari lalu.
Bagi tuduhan pertama, dia dituduh menghina agama Islam dengan cara mencemuh amalan berhubung dengan agama Islam melalui pembentangan satu skrip ucapan bertajuk, Ucapan Kepada Konferensi Politik Nasional Untuk Menentukan Hala Tuju Negara Malaysia Tiga Puluh Tahun Akan Datang.
Pembentangan itu mengandungi petikan antaranya, (b) Mereka mendewa-dewakan Nabi Muhammad. Syahadah yang kedua itu satu bukti. Juga di kebanyakan rumah orang Islam, perkataan Allah dan Muhammad ditulis sama paras. Apabila disebut nama Muhammad, frasa saal-Lallahu alaihi wasallam (SAW) disebut sekali, sedangkan apabila disebut nama nabi-nabi lain, disebut alaihissalam.
Dakwa rambut wanita bukan aurat
Padahal frasa SAW itu ditujukan juga kepada orang mukmin dalam Quran. Juga perkataan salla/yusalli bermakna restu, bantu dan sokong, bukan selawat seperti yang dibuat sekarang.
(c) Perhatikan satu perubahan baru dalam aurat wanita. Perkataan aurat berasal daripada bahasa Arab ertinya kebogelan. Tiga puluh tahun dulu, wanita Islam tidak memakai tudung. Mereka pakai selendang, sehelai kain yang mereka letak di bahu, atau pun di atas kepala tanpa menutup semua rambut kerana rambut bukan aurat wanita. Menutup rambut dengan bertudung bermakna udara bersih tidak dapat memasuki rambut. Dengan itu rambut menjadi busuk. Dengan lain perkataan, ia tidak sihat. Anehnya, wanita yang bertudung menganggap diri mereka suci!
Kassim turut dituduh pada seminar sama menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama, dengan mengingkari atau melanggar perintah Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam, majlis atau mufti melalui fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan berkenaan golongan antihadis.
Dia dituduh membentangkan petikan dari dua buku bertajuk, Hadith Satu Penilaian Semula (terbitan Media Intelek Sdn Bhd 1986 dan Hadith: Jawapan Kepada Pengkritik (terbitan Media Indah Sdn Bhd 1992), yang mana ia diwartakan haram melalui Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan pada 8 Februari 1996 berkenaan Golongan Anti-Hadis.
Bertentangan akidah
Ia berikutan kandungan buku terbabit mengandungi ajaran, pegangan dan fahaman yang bertentangan dengan akidah dan syariah Islamiah serta mengelirukan masyarakat Islam dan membawa kepada murtad.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 7(b) dan Seksyen 9, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, yang boleh dihukum denda RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Ibrahim Deris memberitahu mahkamah supaya tertuduh ditahan dengan waran atau dilepaskan dengan jaminan RM6,000 bagi kedua-dua tuduhan dengan seorang penjamin, dengan syarat penjamin haruslah seorang warga negara serta bermastautin di Wilayah Persekutuan, mengikut budi bicara mahkamah.
Mahkamah membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM6,000 bagi kedua-dua tuduhan dengan dua penjamin serta menetapkan 7 April sebutan semula kes. Tertuduh membayar jaminan itu.
No comments:
Post a Comment