Monday, June 2, 2014

Junta kerah ribuan askar, polis patahkan protes


ASKAR-ASKAR bersedia untuk beredar selepas mengawal 
sebuah lokasi beli-belah di pusat bandar raya Bangkok semalam.


BANGKOK - Kerajaan junta tentera Thailand mengerahkan beribu-ribu askar dan anggota polis ke pusat kota bandar ini semalam bagi mematahkan sebarang perhimpunan untuk menentang rampasan kuasa tentera yang berlaku pada 22 Mei lalu.
Junta tentera menggulingkan saki baki pentadbiran bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra selepas berbulan-bulan Thailand berdepan tunjuk perasaan sehingga memaksa beberapa kementerian ditutup dan menjejaskan sektor perniagaan dalam negara.
Yingluck sendiri diarah meletak jawatan dua minggu sebelum rampasan kuasa tersebut selepas sebuah mahkamah mendapati beliau bersalah menyalahgunakan kuasa.
Timbalan ketua polis, Somyot Poompanmoung berkata, seramai 5,700 anggota polis dan askar dikerahkan ke pusat bandar raya ini semalam manakala beberapa pasukan khas turut bersiap sedia untuk mematahkan bantahan di lokasi-lokasi sekitarnya.
Pihak tentera sebelum ini melarang perhimpunan politik melibatkan lima orang atau lebih diadakan manakala beberapa bantahan yang diadakan di sini adalah berskala kecil dan singkat.
Namun, sekumpulan penunjuk perasaan sempat berhimpun di sebuah laluan eskalator di Pusat Seni dan Budaya di sini untuk membantah rampasan kuasa tersebut.
Tidak lama kemudian, beratus-ratus askar tiba di lokasi tersebut yang menyebabkan penunjuk-penunjuk perasaan itu bertempiaran lari meninggalkan lokasi itu.
Terdahulu, sekumpulan penunjuk perasaan yang disertai kira-kira 30 orang berhimpun di dalam pusat beli-belah Terminal 21 di kawasan Asoke manakala sebuah kumpulan serupa berkumpul di Universiti Thammasart di sini.
Kedua-dua tempat itu merupakan antara lokasi yang paling kerap dikunjungi oleh pelancong di sini. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0602&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz33Tz989rC 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment