Malah lebih malang, peserta itu dinobatkan sebagai pemenang pertandingan perlumbaan bot kadbod tersebut yang juga menyediakan hadiah untuk ka­tegori bot karam paling dramatik.
Gambar yang disebarkan di Internet, memaparkan pesawat yang diperbuat daripada kadbod itu dimasukkan ke dalam laut semasa pertandingan tahunan yang diadakan di Golden Bay.
“Saya amat terperanjat. Kehilangan pesawat itu juga masih belum mencapai tempoh setahun. Apa perasaan mereka sekiranya ahli keluarga mereka ada di dalam pesawat itu?
“Peserta itu tidak sepatutnya menjadikan tragedi tersebut sebagai bahan jenaka,’’ kata wanita dari Christchurch, Sara Weeks sebagaimana lapor portal stuff.co.nz.
Abang Sara, Paul, 38, merupakan antara penumpang pesawat itu yang dilaporkan hilang pada 8 Mac tahun lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Pereka replika pesawat itu, Robert Chubb tanpa rasa bersalah berkata, dia percaya, sudah cukup lama sejak tragedi membabitkan pesawat MH370 berlaku bagi orang ramai untuk melihat perkara melucukan berbanding mencari kesalahan.
“Para penonton beranggapan replika itu satu pameran yang baik.
“Tragedi MH370 merupakan satu peristiwa besar, sementara pertandingan ini hanya satu acara kecil-kecilan. Saya fikir orang ramai perlu melihat ironi dan unsur jenaka padanya,’’ kata Chubb.
Sementara itu, wakil pihak penganjur pertandingan, Dave Myall mengaku replika itu menggambarkan tentang bagaimana pesawat MH370 sedang tenggelam, namun ‘merit kesenian menjadi faktor di sebalik pemilihan Chubb sebagai pemenang’.
“Saya minta maaf setelah mendengar kekesalan Sara, namun pertandingan ini merupakan acara tempatan dan perlu diambil daripada konteks itu,’’ katanya.