Internet merupakan ancaman terbesar kepada manusia kerana mampu menghasut keganasan, menjatuhkan kerajaan, dan menghapuskan spesies manusia. – AGENSI
LONDON 1 Jan. - I nternet dianggap sebagai medium yang banyak membantu urusan seharian manusia, namun pakar menganggap, kemudahan itu merupakan ancaman terbesar kepada manusia kerana boleh menghasut keganasan, menjatuhkan kerajaan, dan menghapuskan spesies manusia.
Kebimbangan itu disuarakan oleh penyelidik dari Pusat bagi Kajian Kewujudan Risiko (CSER) Universiti Cambridge yang diwujudkan bagi memantau kecerdasan buatan, kemajuan teknologi, bioteknologi, nanoteknologi, dan perubahan iklim.
Sebagai contoh menurut mereka, Internet disebut sebagai faktor utama yang mendorong fenomena kebangkitan rakyat di Mesir pada 2011, manakala serangan siber berpotensi menjatuhkan sesebuah kerajaan serta mengancam perniagaan sekali gus boleh merosakkan ekonomi global.
“Sains moden sering mengenegahkan idea risiko semula jadi seperti kesan asteroid dan bencana gunung berapi yang mampu mengancam spesies manusia keseluruhannya.
“Namun apa yang kita tidak sedar, manusia sendiri sebenarnya berpotensi mengancam populasi sendiri,” kata pensyarah falsafah Universiti Cambridge, Huw Price.
Selain Price, projek CSER turut disertai pensyarah kosmologi dan astrofizik universiti itu, Martin Rees serta pengasas bersama Skype, Jaan Tallinn.
Penyelidik itu menjelaskan bahawa, kemampuan kemajuan teknologi amat berbahaya ‘dalam beberapa tangan manusia’.
Selain ancaman kejatuhan sesebuah kerajaan dan ekonomi, Internet juga menjadi medium yang digunakan penjenayah dan pengganas yang beroperasi di sebalik ‘laman web gelap’ yang boleh menyumbang kepada peperangan global, menyebarkan keganasan, dan jenayah sehingga mencetuskan Perang Dunia Ketiga.
Kemajuan Internet dan keupayaan laman web juga menjadikan prospek kecerdasan buatan lebih menonjol sehingga profesor Stephen Hawking mendakwa kejayaan mewujudkan kecerdasan buatan merupakan perkara besar dalam sejarah manusia.
No comments:
Post a Comment