Sentimen anti-Islam meningkat
SATU gelombang baharu anti-Islam dan sikap tidak bertoleransi terhadap agama kini semakin meningkat di Eropah terutamanya di Jerman dan Perancis.

Parti politik berhaluan kanan terus mengekploitasi pelbagai isu berkaitan Islam hingga mencetuskan konflik agama di beberapa negara di benua tersebut.

Selain itu, para pemimpin negara Eropah seperti Perancis, Belgium, Sepanyol, Belanda dan Switzerland dikatakan sudah lama mengamalkan diskriminasi secara terbuka terhadap penduduk Islam.

Sentimen Islamophobia didakwa semakin meluas selepas insiden serangan bom dan tembakan rambang dilancarkan oleh pelampau berhaluan kanan, Anders Behring Breivik yang turut meragut lebih 80 nyawa di Oslo, Norway pada Julai 2011.

Tinjauan yang dilakukan ke atas beberapa negara di Eropah juga menunjukkan kebanyakan responden dan pihak media memberikan tanggapan negatif terhadap kebudayaan dan orang Islam.

Pertubuhan Hak Asasi Manusia Antarabangsa, Amnesty International pernah mendedahkan kesan diskriminasi terhadap orang Islam melalui laporan Choice and prejudice: discrimination againts Muslims in Europe pada 2012.

Pakar isu diskriminasi Amnesty, Marco Perolini berkata, wanita Islam tidak mendapat pekerjaan dan kanak-kanak perempuan tidak dibenarkan menghadiri sekolah hanya kerana mereka berhijab.

“Pekerja lelaki yang berjanggut juga dipecat sewenang-wenangnya kerana penampilan tersebut kononnya dikaitkan dengan Islam.

“Perancis, Belgium, Belanda gagal untuk melaksanakan undang-undang yang tepat untuk melarang sebarang diskriminasi dalam sektor pekerjaan,” jelasnya lagi.

Sehingga kini, penindasan ke atas penduduk Islam di Eropah terus berleluasa dan media Barat pula mengambil kesempatan untuk memburukkan imej Islam selain mengaitkan ia dengan insiden keganasan.

Tuntutan kepada PBB

Ketua  Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Islam, Yusuf al-Qardawi menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengharamkan sentimen yang meningkatkan kebencian agama.
Beliau turut menggesa negara Islam supaya bersatu untuk mengemukakan draf undang-undang berhubung tuntutan itu.

Menurutnya lagi, negara Barat perlu melindungi orang Islam tanpa mengira status mereka.

Kesatuan terbabit juga mengutuk tindakan biadab majalah satira Perancis, Charlie Hebdo yang menerbitkan karikatur mempersendakan Nabi Muhammad SAW dan ia jelas menunjukkan negara Barat tidak menjaga sensitiviti agama lain.

Sebagai respons terhadap tuntutan itu, sumber diplomatik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memaklumkan Kesatuan Eropah (EU) telah mempertimbangkan cadangan untuk mengetatkan undang-undang terhadap sebarang tindakan berunsur kebencian agama susulan tragedi berdarah di Paris.

Bagaimanapun, tuntutan itu mungkin sukar dilaksanakan berikutan pertambahan anggota parti berhaluan kanan dalam Parlimen Eropah yang sememangnya mengecam orang Islam secara terang-terangan.


Peningkatan serangan 110 peratus di Perancis

Kempen anti-Islam di seluruh Perancis meningkat dua kali ganda susulan serangan ke atas ibu pejabat majalah Charlie Hebdo di ibu negara pada 7 Januari lalu.

Laporan Pusat Pemerhati bagi Menentang Islamophobia menunjukkan peningkatan 110 peratus dalam serangan anti-Islam di negara terbabit berbanding Januari tahun lalu.

“Lebih 100 serangan menyasarkan orang Islam dan masjid dilaporkan di negara itu,” menurut laporan tersebut.

Presiden agensi itu, Abdullah Zekri turut mengutuk tindakan yang berunsur kebencian agama.

“Situasi ini sememangnya tidak boleh diterima dan kami menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab,” katanya lagi.

Masjid, imam jadi sasaran

Pengerusi Majlis Pusat Islam di Jerman mendedahkan penduduk Islam dan masjid kini menjadi sasaran serangan serta perbuatan vandalisme di negara itu selepas gelombang Islamophobia meningkat di Eropah.

Aiman Mazyek berkata, golongan wanita berhijab dan imam masjid terus menjadi sasaran serangan kumpulan pelampau pada setiap hari.

Beliau turut menekankan peranan ulama dalam usaha untuk memerangi pengaruh kumpulan ekstremis Takfiri yang telah mencetuskan kebimbangan di Eropah.

“Setiap imam perlu mempunyai pengetahuan yang lengkap untuk menangani isu berkaitan radikal. Kita juga memerlukan sokongan daripada ahli politik dan masyarakat,” katanya lagi.


Pelajar Britain berdepan dilema

Aktivis hak asasi manusia di Britain mendakwa pelajar Islam di seluruh Britain kini berdepan dilema selepas sentimen Islamophobia meningkat di negara itu.

Menurut pemerhati badan amal, Tell MAMA, laporan mereka menunjukkan terdapat peningkatan dalam insiden serangan fizikal dan lisan ke atas pelajar Islam susulan tragedi berdarah di Paris yang telah meragut 17 nyawa.

“Sebanyak 112 kes keganasan dilaporkan sejak beberapa minggu lalu. Kami juga melihat banyak kejadian buli melibatkan murid sekolah rendah di negara ini,” menurut ketua eksekutifnya, Fiyaz Mughal.

Sementara itu, kesatuan guru dan kumpulan antiperkauman turut melihat peningkatan insiden anti-Islam di sekolah.

National Association of Schoolmasters Union of Women Teachers (NASUWT) memaklumkan sentimen Islamophobia telah mencetuskan ketakutan dalam kalangan murid dan pelajar di sekolah.

Pegida dan Xenophobia
Sebuah kumpulan anti-Islam di Jerman sengaja mencetuskan ketegangan di negara itu dengan mengadakan perhimpunan untuk menyatakan kemarahan mereka terhadap Islam dan pemohon suaka sejak Oktober lalu.
Kumpulan Patriotik Eropah Menentang Pengislaman Barat (Pegida) telah dipergunakan oleh kumpulan berhaluan kanan dan neo-nazi bagi mencapai agenda jahat mereka untuk menghapuskan Islam di negara terbabit.

Pada awalnya, gerakan ini gagal mendapat sokongan, namun ia mula mendapat perhatian media antarabangsa sejak awal bulan lalu.

Kewujudan Pegida telah diperalatkan oleh kumpulan pelampau untuk menarik sokongan penduduk Jerman dengan cara melabel golongan pemohon suaka kononnya sebagai satu ancaman yang mampu menghapuskan budaya Barat.

Kumpulan itu turut menggunakan xenophobia (prejudis terhadap sesuatu yang asing) untuk meraih sokongan penduduk dengan cara memberi tanggapan buruk terhadap Islam.

Bantah kempen islamophobia

Kebanyakan ahli politik di Jerman secara terang-terangan mengkritik Pegida dan ribuan penyokongnya yang menyertai perhimpunan kempen anti-Islam tersebut.

Ketika berucap sempena sambutan Tahun Baharu, Canselor Jerman, Angela Merkel menggesa penduduk supaya memulaukan perhimpunan anjuran Pegida tersebut.

Pemimpin wanita terbabit turut menyelar Pegida dan pengikutnya kerana menyokong protes yang berunsur perkauman serta kebencian agama.

Selain itu, golongan selebriti termasuk bekas Canselor, Helmut Schmidt juga tidak terkecuali menzahirkan bantahan dengan menandatangani petisyen yang diterbitkan menerusi akhbar harian utama negara itu, Bild.

Petisyen tersebut menyatakan ‘tidak’ kepada xenophobia dan ‘ya’ kepada perbezaan serta toleransi.


Agenda jahat Israel

Serangan ganas ke atas ibu pejabat Charlie Hebdo di Paris sekali lagi bertujuan untuk mewujudkan kebencian masyarakat dunia terhadap orang Islam.

Kejadian tersebut dilihat sebagai operasi false flag (misi rahsia untuk menipu orang awam dengan menuduh pihak lain bertanggungjawab) yang menggunakan taktik sama seperti insiden serangan 9/11.

Susulan daripada itu, banyak pihak percaya kerajaan Barat sengaja mereka serangan berdarah itu di bawah agenda jahat mereka untuk meningkatkan kempen anti-Islam di seluruh dunia.

Pengulas politik di Paris, Gearoid O Colmain mendedahkan bahawa Israel dan rejim Zionis telah sekian lama melancarkan serangan false flag di seluruh AS dan Eropah sebagai cubaan untuk menyebarkan permusuhan terhadap Islam.

"Saya tidak menolak kemungkinan Israel juga terlibat secara langsung dalam agenda jahat untuk memusnahkan negara Islam," jelasnya.

Sementara itu, Pengarang dan Pakar Pengajian Islam, Dr Kevin Barrett turut mendakwa serangan itu didalangi tentera Zionis manakala Said dan Cherif Kouachi dijadikan sebagai kambing hitam bagi memburukkan imej Islam.