Friday, February 20, 2015

Imigresen Australia Nafi Luluskan Wawancara Sirul


Diterbitkan: Jumaat, 20 Februari 2015 7:20 PM

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Australia pada Jumaat nafi meluluskan wawancara televisyen dengan bekas komando polis, Sirul Azhar Umar berhubung pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Menurut sebuah portal berita Australia, The Age, Sirul, yang kini ditahan di pusat tahanan Villawood di Sydney memberitahu sebuah portal berita tempatan bahawa dia telah berunding dengan stesen televisyen Australia untuk mengadakan sesi wawancara khas berkenaan.

The Age memetik jurucakap Jabatan Imigresen, Peter Dutton sebagai berkata bahawa jabatan itu tidak memberi kelulusan dengan mudah terhadap proses untuk menemubual tahanannya.

Beliau menambah bahawa Sirul memerlukan kelulusan peringkat tertinggi untuk merakam wawancara bersama media dengan kawalan keselamatan yang ketat.

Bagaimanapun menurut laporan itu, Dutton tidak menolak kemungkinan satu temu bual boleh diadakan pada masa akan datang jika proses permohonan yang sepatutnya dipenuhi.

Terdahulu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar dilaporkan berkata bahawa media tempatan di Australia berpeluang untuk mengadakan sesi telesidang bersama Sirul selama 15 minit pada Isnin ini.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Pokok Sena itu tidak menyatakan butiran lanjut mengenai perkara itu.

Sirul dan bekas Cif Inspektor Azilah Hadri didakwa membunuh Altantuya pada 2006 dan disabitkan dengan kesalahan jenayah oleh Mahkamah Tinggi pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membebaskan Azilah dan Sirul, berikutan rayuan dikemukakan.

Pada 13 Januari tahun ini, Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka.

Sirul tidak hadir di mahkamah untuk mendengar keputusan itu. Dia dipercayai telah pergi ke Australia dengan visa pelancong dan pasport yang sah tahun lalu.

Dia bagaimanapun ditahan pada 20 Januari oleh pegawai imigresen Australia selepas Interpol mengeluarkan notis merah dan ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney.

No comments:

Post a Comment