Monday, March 30, 2015

Kes Altantuya: Tiada Bukti Kukuh Kaitkan Razak Baginda - Nancy


Diterbitkan: Isnin, 30 Mac 2015 9:03 PM
Abdul Razak Baginda

KUALA LUMPUR: Tiada bukti kukuh bagi mengaitkan penglibatan penganalisis politik, Abd Razak Baginda dalam kes pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.
Menurut Nancy, berdasarkan alasan itu, Jabatan Peguam Negara membuat keputusan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepas dan membebaskan Abd Razak pada Oktober 2008.
“Berdasarkan keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan mahkamah, kajian menyeluruh dilakukan ke atas kes yang dikemukakan pihak pendakwaan untuk menentukan sama ada rayuan terhadap perintah mahkamah tinggi tersebut perlu dibuat atau tidak.
“Setelah dikaji dengan teliti dan mendalam, Jabatan Peguam Negara berpendapat bahawa tiada keterangan yang kukuh dan mencukupi bagi membuktikan penglibatan Abd Razak dalam pembunuhan Altantuya,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) berhubung sebab sebenar Jabatan Peguam Negara tidak mengemukakan rayuan ke atas keputusan mahkamah.
Abd Razak yang juga tertuduh ketiga dalam kes pembunuhan Altantuya dibebaskan 31 Oktober 2008 di Mahkamah Tinggi Shah Alam setelah Hakim Mohd Zaki mendapati tiada kes prima facie terhadapnya untuk menjawab tuduhan.
Bagaimanapun, dua lagi terduduh iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) diarah membela diri atas tuduhan yang dihadapi.
Sirul dan Azilah kemudiannya didakwa membunuh Altantuya pada 2006 dan disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi pada 2009.
Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dengan membebaskan mereka daripada tuduhan berkenaan.
Bagaimanapun, pada 13 Januari lepas, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan kedua-dua anggota keselamatan terbabit dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.
Bagaimanapun, Sirul tidak hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes itu kerana berada di Australia.
Susulan itu Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

No comments:

Post a Comment