Tuesday, March 31, 2015

Mandatori dua kru dalam kokpit





CANBERRA – Syarikat penerbangan Australia perlu memastikan dua kru berada di dalam kokpit pesawat pada setiap masa, kata Timbalan Perdana Menteri Warren Truss semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas nahas Penerbangan Germanwings 4U9525.

Dalam nahas tersebut, pembantu juruterbang Andreas Lubitz mengunci dirinya di dalam kokpit dan sengaja menghempas pesawat Airbus A320 yang dikendalikan ke lereng gunung di Banjaran Alps, Perancis.

Ketika kejadian, juruterbang pesawat itu meninggalkan kokpit untuk seketika.

Nahas itu mengorbankan semua 150 penumpang dan kru Penerbangan 4U9525.

“Kerajaan sudah berbincang dengan syarikat-syarikat penerbangan sejak beberapa hari lalu. Kami bersetuju agar dua petugas berada di dalam kokpit pada setiap masa,” kata Truss.

“Dasar baharu ini akan dilaksanakan segera beberapa syarikat penerbangan utama Australia,” tambahnya.

Pada minggu lalu, Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah mencadangkan supaya sekurang-kurangnya dua orang berada di dalam kokpit pada setiap masa susulan nahas 4U9525 yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh diri dan pembunuhan beramai-ramai.

Banyak syarikat penerbangan di Eropah kini melaksanakan peraturan tersebut yang telah menjadi amalan di Amerika Syarikat.

Di Australia, Truss memberitahu bahawa peraturan baharu itu melibatkan semua pesawat yang membawa 50 atau lebih ramai penumpang. Peraturan tersebut menyatakan seorang kru perlu berada di kokpit jika juruterbang atau pembantu juruterbang mahu meninggalkan dek berkenaan.

“Terdapat banyak juga kes iaitu lebih 24 kejadian dalam tempoh 30 atau 40 tahun lalu yang melibatkan pesawat terhempas kerana juruterbangnya bertindak membunuh diri,” jelas Truss. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3VuqjV5fo
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment