KUALA LUMPUR: Pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menolak hudud sebagai dasar bersama dalam Pakatan Rakyat mendapat tentangan kumpulan akar umbi.
Setiausaha Kelab Akar Umbi PKR Selangor, Kamaruljas Abdullah berkata, keputusan yang dibuat kepimpinan parti berhubung isu hudud bukan persetujuan bersama kerana tidak mendapat pandangan ahli di peringkat bawahan.
Beliau mendakwa pimpinan PKR tidak pernah meminta pandangan akar umbi dan wakil di setiap cabang sebelum membuat apa-apa keputusan dalam beberapa isu sebelum ini, termasuk isu hudud.
"Kita (akar umbi) rasa tertinggal dalam isu ini yang tidak dibawa dalam perbincangan. Kita tidak sokong kenyataan pimpinan yang menolak hudud dan menganggap ia hanya suara sebelah pihak.
"Isu hudud adalah isu besar melibatkan hukum agama, bukan hukum parti, jadi pendirian yang dibuat tidak adil untuk akar umbi beragama Islam," katanya di sini, Jumaat.
Terdahulu, selepas solat Jumaat di Masjid al-Mustaqim, Ampang, sekumpulan ahli kelab tampil bersama poster bagi menyatakan bantahan terhadap pendirian parti yang menolak pelaksanaan hudud.
Menurut Kamaruljas, apabila melibatkan agama, setiap parti perlu berhati-hati dalam membuat keputusan dan menyatakan pendirian.
Katanya, kebanyakan ahli kesal dan marah apabila Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan beberapa pimpinan parti mengeluarkan kenyataan dan menyatakan pendirian tentang hudud.
"PKR yang diharapkan sudah tersasar arah perjuangannya. Sepatutnya keputusan memihak kepada suara akar umbi tapi mereka buat keputusan sendiri dan mahu kita akur dengan keputusan mereka.
"Kita bukan memberontak cuma nak beritahu mereka bahawa akar umbi itu wujud. Kalau tak jaga pengundi apa akan jadi pada masa akan datang," katanya.
Mengenai risiko dikenakan tindakan disiplin atau dipanggil oleh parti kerana ingkar pendirian parti dan membuat kenyataan kepada media, katanya, beliau memegang prinsip berani kerana benar.
Katanya lagi, peruntukan undang-undang membenarkan ahli memberi pandangan berhubung sesuatu isu melibatkan parti.
"Kita harap mereka panggil kita dan berbincang.
"Kenapa perlu ambil tindakan ke atas ahli yang beri cadangan dan pandangan?," katanya sambil menambah kelab dengan ahli kira-kira 4,000 orang itu ditubuhkan untuk memantau tindakan dan kaedah penyelesaian isu melibatkan parti melalui pendekatan 'semak dan saksama'.
No comments:
Post a Comment