Xie Xu, 18, mendukung Zhang Chi, 19, ke sekolah di Sekolah Tinggi Daxu, Xuzhou, utara wilayah Jiangsu, China, selama tiga tahun. AGENSI
BEIJING 26 April – Atas dasar semangat setia kawan, seorang pelajar sanggup membantu mendukung rakannya yang kurang upaya (OKU) ke sekolah setiap hari sepanjang tiga tahun lalu.
Mail Online melaporkan, Xie Xu, 18, menemui Zhang Chi, 19, ketika sama-sama melanjutkan pelajaran di Sekolah Tinggi Daxu, Xuzhou, utara wilayah Jiangsu.
Chi mengalami penyakit distrofi otot atau keadaan yang menyebabkan otot seseorang pesakit lemah, sehingga menyebabkannya mengalami kesukaran untuk berjalan dan bergerak.
Simpati atas nasib yang menimpa Chi, Xu yang mempunyai ketinggian 1.73 meter nekad untuk membantu dengan mendukung rakannya itu ke sekolah.
Kedua-dua rakan baik itu tinggal berhampiran dengan sekolah dan setiap hati Xu bukan sahaja mendukung Chi ke sekolah, malah turut membantunya menyediakan makanan dan membasuh baju.
“Kisah dua pelajar ini begitu menyentuh perasaan dan memberi inspirasi. Mereka tiada sebarang pertalian darah dan Xu sudah melakukan perkara ini selama tiga tahun,” kata Naib Pengetua Sekolah Tinggi Daxu, Guo Chunxi.
Kata Chunxi, kedua-dua mereka merupakan antara pelajar cemerlang di sekolah dan bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan.
No comments:
Post a Comment