Seorang wanita bersama bayinya tidur di atas sebuah katil yang dipamerkan di premis IKEA cawangan Xihongmen di Beijing. AGENSI
BEIJING 12 April – Pusat perabot, IKEA di China dilapor mengambil langkah drastik melarang pelanggan tidur di atas katil dan sofa yang diletakkan pada ruangan pameran premis itu di seluruh China.
Syarikat perabot terkemuka Sweden itu dilapor mengeluarkan arahan melarang pelanggan yang keletihan membuka kasut dan tidur di atas perabot dan sofa yang dipamer di kesemua premis mereka di negara berkenaan.
IKEA terpaksa bertindak sedemikian selepas lebih separuh katil dan perabot di cawangan kedai IKEA Xihongmen, di sini dipenuhi pengunjung yang tidur di atas perabot yang dipamerkan di situ dengan ada daripada mereka menutup muka mereka, lapor portal People’s Daily yang dipetik Mail Online.
Seorang wanita berkata, dia datang ke IKEA untuk tidur sekejap di atas katil ‘empuk’ yang terdapat di premis tersebut.
Dia tidak menganggap perbuatan itu satu isu besar, sambil menegaskan: ‘Ya, tidur di atas perabot boleh mengganggu pengunjung lain di pusat membeli-belah itu, namun perkara itu sepatutnya tidak menjadi masalah.”
Bagaimanapun menurut kakitangan IKEA, masalah itu sudah menjadi terlalu serius di China dengan pihak pengurusan berikrar untuk meningkatkan kawalan bagi mengubah sikap itu.
Di bawah undang-undang baharu itu, pelanggan masih dibenarkan mencuba sofa dan katil yang dipamer di premis IKEA, namun tindakan membuka kasut untuk tidur adalah sama sekali dilarang.
Menurut kakitangan syarikat yang enggan dikenali, undang-undang itu mungkin sukar dilaksanakan kerana terdapat warga emas dan kanak-kanak yang tidur di atas perabot dan mereka tidak boleh berbuat apa-apa.
Selain itu, katanya, perbuatan itu sudah menjadi trend di China, ditambah dengan faktor, pendingin hawa di premis itu yang menarik lebih ramai pengunjung terutamanya pada musim panas.
No comments:
Post a Comment