Sunday, April 26, 2015

PKR Tak Layan Karenah PAS Pulau Pinang


Diterbitkan: Ahad, 26 April 2015 7:57 PM

BUKIT MERTAJAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) enggan melayan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang yang bertegas untuk terus memboikot kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata, parti itu tidak perlu menghiraukan pendirian akar umbi sekutunya ekoran kepimpinan tertinggi PAS sudah berikrar untuk terlibat mempertahankan kerusi tersebut.

“Kita 'deal' dengan PAS sebagai organisasi, takkan nak deal dengan PAS cawangan? Takkan nak deal dengan Pak Leh bin Saad ketua cawangan…tak habis kerja lah. Itu cara kira deal dalam politik,” katanya pada Ahad.

Beliau mengulas mengenai tindakan nekad Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang untuk memboikot kempen PRK Permatang Pauh selepas permohonan maaf mereka berhubung dakwaan menghina Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dilayan.

Ketuanya, Mohd Yusni Mat Piah mengarahkan supaya membekukan jentera dan aset mereka daripada terlibat dalam semua gerak kerja PRK Permatang Pauh.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, jaminan PAS Pusat termasuk arahan supaya jenteranya menyokong dan membantu memenangkan Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam PRK ini adalah memadai.

“Tindakan PAS Pusat melantik Mohamad Sabu dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa terlibat secara langsung dalam membantu PKR bukti kerjasama dalam pakatan.

"Jadi sebagai organisasi parti, kita ada proses dalam membuat urusan dengan parti sahabat. Itulah amalan kita,” katanya.

No comments:

Post a Comment