Gambar fail bertarikh 29 Jun 2012, menunjukkan Muhammad Mursi (tengah) melambai ke arah penyokongnya sambil dikawal pengawal ketika memegang jawatan Presiden di Dataran Tahrir, Kaherah, Mesir. REUTERS
KAHERAH 17 Mei – Hukuman mati yang dikenakan terhadap bekas Presiden Mesir, Mohammed Mursi dikecam banyak pihak yang menyifatkannya sebagai bermotifkan politik.
Mendahului kecaman adalah jurucakap pergerakan Islam, Ikhwanul Muslimin, Amr Darrag yang menyatakan bahawa keputusan berkenaan adalah satu jenayah pembunuhan yang ‘dibenarkan’.
“Keputusan mahkamah itu bermotifkan politik dan perlu dihentikan masyarakat antarabangsa. Parti pemerintah sewenang-wenangnya menggunakan kuasa untuk menghapuskan semua pemimpin kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengkritik Mesir dan sekutu-sekutu Baratnya sebagai ‘hipokrit’ berhubung hukuman mati terhadap Mursi.
“Ketika Barat memansuhkan hukuman mati, sekutu Barat Mesir pula hanya melihat keputusan itu dilaksanakan di negara ini. Mereka tidak pula berbuat apa-apa,” katanya seperti yang dipetik agensi berita Anatolia.
Dalam pada itu, kumpulan hak asasi manusia Amnesty International menerusi jurucakapnya, Said Boumedouha berkata, keputusan tersebut memperlihatkan tindakan tidak mengendahkan hak kemanusiaan.
“Mursi telah menjalani proses perbicaraan yang tidak adil. Beliau ditahan berbulan-bulan tanpa sebarang akses guaman dan tidak diwakili peguam. Ini menunjukkan keputusan itu tidak sah,” katanya.
Said menambah, Mursi dan pemimpin-pemimpin Ikhwanul Muslimin sepatutnya dibebaskan atau dibicarakan di mahkamah awam.
Amnesty International menyifatkan, hukuman mati telah menjadi ‘alat paling digemari’ oleh kerajaan Mesir yang kini dipimpin Presiden, Abdel Fattah al-Sisi sejak menggulingkan Mursi pada 2013. – AGENSI/REUTERS
No comments:
Post a Comment