Saturday, May 23, 2015

Isytihar perang

Jayapura, Indonesia: Kumpulan pemberontak bersenjata di Papua mengisytiharkan perang terbuka terhadap tentera Indonesia dan menegaskan perjuangan mereka bagi menuntut kemerdekaan di wilayah itu masih belum berakhir.
Pertubuhan Kebebasan Papua (OPM) turut menuduh Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) sebagai berbohong apabila memberi jaminan wilayah itu berada dalam keadaan aman.
Komander sayap bersenjata OPM, Enden Wanimbo memberitahu Jakarta Globe semalam, pertubuhan itu mengisytiharkan perang revolusioner dari daerah Sorong hingga ke Merauke.
“Ini bermakna kami melancarkan perang habis-habisan terhadap Indonesia di bumi Papua,” katanya.
Komander Tentera Pembebasan Kebangsaan (TPN) itu dikehendaki pihak berkuasa Indonesia dan dipercayai berlindung di daerah Lanny Jaya, kubu kuat pertubuhan berkenaan.
Tambahnya, OPM menolak sebarang rundingan dengan Jakarta dan pertubuhan itu hanya mahukan kemerdekaan.
Indonesia menguasai wilayah itu yang terletak di barat kepulauan New Guinea pada 1969 melalui satu pungutan suara.
Bagaimanapun, pungutan suara itu kini dianggap sebagai helah untuk menguasai wilayah berkenaan.
Sepanjang puluhan tahun sebelum ini, OPM hanya melancarkan pemberontakan bersenjata tahap rendah terhadap Indonesia.
Jokowi yang melawat Papua pada awal bulan ini mahu menghentikan persepsi bahawa wilayah itu adalah zon konflik dan membenarkan kemasukan wartawan asing buat kali pertama sejak 1969.
Bagaimanapun, Enden menegaskan, gambaran yang diberikan Jokowi kepada dunia mengenai situasi di Papua adalah satu penipuan.
“Kenyataan Jokowi bahawa wilayah ini berada dalam keadaan aman adalah tidak benar,” tegasnya.
Seorang lagi komander TPN, Puron Wenda menegaskan bahawa pertubuhan itu sudah bersedia untuk berperang.
“Kami tidak mahu lagi mengadakan sebarang dialog kerana Jakarta sering menipu.
“Indonesia perlu keluar dari wilayah ini kerana kami akan meneruskan perjuangan menuntut kemerdekaan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2015 @ 6:53 AM


ANGGOTA sayap bersenjata OPM yang berpangkalan di daerah Lanny Jaya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52909#sthash.cbAgq2Mz.dpuf

No comments:

Post a Comment