Thursday, June 11, 2015

Aceh haram wanita keluar rumah selepas 11 malam


Banda Aceh: Pihak berkuasa Banda Aceh semalam mengharamkan wanita berada di luar rumah atau bekerja selepas jam 11 malam bagi melindungi mereka daripada fitnah dan jenayah.

Datuk Bandar Aceh, Illiza Sa’aduddin Djamal berkata, wanita diharamkan berada di luar rumah dan lokasi hiburan seperti pusat sukan dan restoran selepas jam 11 malam.

Wanita juga diharamkan bekerja di premis seperti itu selepas waktu yang ditetapkan itu.

“Lokasi tumpuan seperti restoran dan pusat sukan diarahkan untuk tidak menerima pelanggan wanita selepas jam 11 malam melainkan mereka ditemani suami atau saudara lelaki.

“Majikan juga diarahkan supaya tidak membenarkan pekerja wanita bekerja melebihi waktu itu,” katanya.

Illiza berkata, walaupun peraturan itu dikritik kumpulan hak asasi manusia, langkah itu bertujuan melindungi wanita.

“Tujuan kami melindungi wanita termasuk yang bekerja di lokasi tumpuan pelancong seperti kafe Internet, pusat sukan dan restoran,” jelasnya.

Menurutnya, wanita yang didapati melanggar undang-undang itu akan diberi amaran manakala majikan atau pemilik perniagaan yang membenarkan wanita berada di premis mereka mungkin ditarik lesen perniagaan.

Wilayah Aceh yang mempunyai kuasa autonomi menguatkuasakan undang-undang Syariah termasuk melarang wanita berpakaian ketat.

Pengarah Suruhanjaya Kebangsaan untuk keganasan terhadap wanita, Azriana mengecam peraturan berkenaan yang dianggapnya menyekat kebebasan wanita. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 7:20 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/56798#sthash.X21IpRsk.dpuf

No comments:

Post a Comment