Monday, June 22, 2015

Hidup bergantung pada tiub



RAFIAH membersihkan tiub khas yang digunakan Fazly yang lumpuh akibat separuh daripada tempurung kepalanya pecah di rumahnya di Kampung Parit Lapis, Laman Sri Medan, Batu Pahat semalam.


BATU PAHAT – Kemalangan yang menimpa Fazly Rosli, 13, ketika dia pulang menunaikan solat Jumaat pada pertengahan Ogos 2012 mengubah kehidupan remaja itu sama sekali.
Sejak itu, Fazly hanya mampu terlantar selepas dia lumpuh akibat separuh daripada tempurung kepalanya pecah.
Mengimbau kejadian tragis itu semula, ibunya, Rafiah Isnin, 45, berkata: “Kejadian berlaku ketika Fazly bersama abangnya pulang daripada menunaikan solat Jumaat. Motosikal yang dinaiki mereka tiba-tiba hilang kawalan dipercayai terlanggar batu sebelum Fazly terjatuh dan terhantuk batu.
“Selepas itu, anak saya koma selama 10 hari sebelum doktor sahkan dia lumpuh disebabkan bahagian otak kiriya bengkak selain tangan kirinya patah.”
Rafiah yang juga seorang ibu tunggal berkata, hidup Fazly kini bergantung kepada penggunaan tiub pernafasan sepenuh­nya.
“Barangkali sepanjang hayatnya dia akan terlantar di atas katil sahaja,” katanya hiba ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Lapis, Laman Sri Medan di sini semalam.
Pun begitu, doktor yang merawat anak keduanya itu memberi sedikit harapan kepadanya.
“Doktor kata Fazly boleh sembuh kerana dia ada menunjukkan perubahan positif, saya harap Allah akan beri keajaiban kepadanya,” katanya.
Bagaimanapun, terpancar raut duka di wajahnya tatkala bercerita tentang kos perubatan anak bongsu daripada dua beradik itu.
“Terus terang saya katakan, kami hanya mengharapkan gaji anak pertama saya, Mohammad Faiz, 19, yang bekerja sebagai pembantu warung. Selain itu, kami bergantung kepada wang ihsan daripada Baitulmal sebanyak RM250 sebulan,” katanya.
Dengan nada sebak, ibu tunggal itu memberitahu Kosmo!, dia terpaksa berkorban untuk anak kesa­yangan dengan berhenti kerja sebagai pembantu kedai.
“Saya terpaksa berbuat demikian kerana Faz­ly perlu diberi perhatian. Saya tahu keputusan itu agak sukar, tapi saya tiada pilihan lain,” katanya.
Rafiah berkata, setiap bulan dia perlu menghantar Fazli ke hospital berdekatan untuk rawatan berkala selain menyediakan susu khas dan lampin pakai buang.
“Saya juga menyewa rumah dan perlu duit belanja dapur hari-hari. Jika dihitung, kami sekeluarga memerlukan kira-kira RM2,000 sebulan,” katanya.
Bercerita tentang Ramadan, Rafiah berkata, tiada persiapan khas dan jarang untuk mereka dapat menikmati makanan yang lazat.
“Jangan ditanya tentang sambutan Aidilfitri kerana saya tidak terfikir ke arah itu. Saya cuma berharap dapat membelikan sepasang baju Melayu baharu untuk Fazly,” katanya sambil berlinangan air mata.
Orang ramai yang simpati dengan keluarga ini boleh menghubungi Ra­fiah di talian 012-994 5935.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0622&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3dk3Ww7wY 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment