RABU, 17 JUN 2015 @ 9:49 PM
LONDON: Kos keganasan di seluruh dunia mencecah rekod AS$14.3 trilion (RM53.64 trilion) pada tahun 2014, bersamaan gabungan ekonomi Brazil, Kanada, Perancis, Jerman, Sepanyol dan United Kingdom, menurut laporan keselamatan dunia, semalam. Jurang antara rantau paling aman dan bergolak meluas dengan banyak negara Asia Barat dan Afrika semakin teruk dilanda keganasan, menurut kajian Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP), yang berpangkalan di Australia. Syria adalah negara paling bergolak pada Indeks Keamanan Dunia 2015, sementara Libya menyaksikan peningkatan keganasan paling teruk. Iceland kekal sebagai negara paling aman. "Kos keganasan kebanyakannya dikaitkan dengan peningkatan korban dalam konflik, kesan ekonomi berterusan di negara terbabit serta peningkatan kos dikaitkan dengan pelarian," kata Pengasas IEP, Steve Killelea di London. Kos menyokong pelarian dan perpindahan dalaman penduduk (IDP) naik sebanyak 267 peratus sejak tahun 2008 kepada AS$128 bilion (RM480.14 bilion) dan jumlah penduduk berpindah naik kepada 50 juta, tertinggi sejak Perang Dunia Kedua. Kajian itu menyebut kos tertinggi disaksikan pada perbelanjaan tentera, pasukan polis dan menguruskan kes pembunuhan, mewakili lebih 68 peratus daripada jumlah keseluruhan. Walaupun konflik berlaku di Ukraine, Eropah terus mencatat tahap keamanan terbaik dalam sejarah dengan penurunan kadar pembunuhan dan pengunduran tentera dari Iraq serta Afghanistan. Bagaimanapun, keganasan bertambah teruk di Iraq, Syria, Nigeria, Sudan Selatan dan Republik Afrika Tengah. Tahap konflik meningkat mendadak, dengan jumlah mereka yang terbunuh naik kepada 180,000 pada tahun 2014 berbanding 49,000 pada 2010. Asia Barat dan Afrika Utara adalah rantau paling bergolak mengatasi Asia Selatan yang berada pada kedudukan paling teruk tahun lalu. - REUTERS
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/61886
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/61886
No comments:
Post a Comment