Friday, July 10, 2015

MH17: Rusia Tentang Permintaan Malaysia Tubuh Tribunal PBB


Diterbitkan: Jumaat, 10 Julai 2015 9:21 AM

NEW YORK: Malaysia telah meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menubuhkan sebuah tribunal antarabangsa untuk mendakwa mereka yang disyaki menembak jatuh sebuah pesawat penumpang di timur Ukraine, tahun lepas, namun langkah itu ditolak oleh Rusia, Khamis.

Malaysia, ahli kepada 15 anggota Majlis, mengedarkan draf resolusi pada lewat hari Rabu, dengan harapan ia dapat diguna pakai akhir bulan ini, kata diplomat.

Ia adalah cadangan bersama oleh Malaysia, Australia, Belanda, Belgium dan Ukraine.

Penerbangan MH17, dengan 298 penumpang telah ditembak jatuh pada Julai 2014 di mana dua pertiga daripada mereka adalah warga Belanda. Ia terhempas di wilayah Ukraine yang dipegang oleh puak pemisah Rusia.

"Saya tidak nampak apa-apa masa depan untuk resolusi ini," kata Duta PBB Rusia, Vitaly Churkin dalam satu kenyataan yang diterjemahkan dari bahasa Rusia.

"Malangnya, ini seolah-olah adalah satu percubaan untuk menganjurkan kehebatan, menunjukkan usaha politik, yang hanya merosakkan usaha untuk mencari pihak-pihak yang bersalah."

Rusia adalah salah sebuah negara pemegang kuasa veto dari 15 anggota Majlis Keselamatan bersama-sama dengan Perancis, Britain, China dan Amerika Syarikat, dan oleh itu terdapat pilihan untuk menyekat cadangan itu jika ia diundi.

Ukraine dan negara-negara Barat menuduh pemberontak di timur Ukraine menembak jatuh pesawat dengan peluru berpandu buatan Rusia.

Tetapi Moscow telah menolak tuduhan tersebut dimana mereka didakwa membekalkan pemberontak dengan sistem peluru berpandu permukaan anti-pesawat SA-11 Buk.

"Apabila kapal terbang Amerika menjadi objek serangan pengganas, jatuh di wilayah Scotland...idea penubuhan sebuah tribunal antarabangsa tidak dibangkitkan oleh sesiapa pun," kata Churkin, merujuk kepada pengeboman penerbangan Pan Am di Lockerbie, Scotland pada 1988.

Draf resolusi PBB yang dilihat oleh Reuters, akan "menubuhkan sebuah tribunal antarabangsa dengan satu tujuan iaitu mendakwa orang yang bertanggungjawab bagi jenayah berkaitan pesawat Malaysia Airlines yang ditembak jatuh."

Ia mengatakan, "bahawa dalam hal keadaan tertentu kejadian ini, penubuhan sebuah tribunal antarabangsa akan menjadi jaminan berkesan untuk proses akauntabiliti bebas dan tidak berat sebelah."

Satu laporan oleh siasatan multinasional mengenai punca kemalangan itu yang diketuai oleh Belanda dijangkakan siap pada akhir tahun ini.

Malaysia, Australia, Belgium dan Ukraine juga adalah sebahagian daripada siasatan bersama itu.

"Kita perlu menunggu hasil siasatan dan kemudian kita boleh berfikir tentang bagaimana cara paling berkesan untuk mendekati prosiding undang-undang," kata Churkin.

No comments:

Post a Comment